Hapuskan saja subsidi haji…

Hapuskan saja subsidi haji…

Kerajaan tidak perlulah beriya-iya supaya kelihatan memahami masalah rakyat. Tidak perlu. Lagi pun tidak elok lebih-lebihkan sangat memahami masalah orang Melayu dan Islam, nanti apa kata pula kaum lain.

 

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

 
SEJAK empat lima hari ini tergeliat lidah makcik, pakcik dan tokwan di kampung menyebut istilah yang baru disogok kepada mereka – istito’ah. Kepada bakal-bakal haji, ini adalah istilah baru yang perlu mereka fahami secara teks dan subteksnya. Ini kerana diulang-ulang sebutnya dalam media dan mulut birokrat agama khususnya berkaitan haji.

Terjemahan longgar istito’ah adalah kemampuan. Tetapi secara psikologinya apabila istilah ini diulang-ulang hingga menjadi fenomena membawa maksud dan tujuan yang lain. Ini adalah prinsip terkini Tabung Haji (TH) yakni mengerjakan haji berdasarkan kemampuan terutama kewangan.

Kesan pertama daripada istilah istito’ah ini ialah tidak semua pengiring atau mahram yang menemami bakal haji tidak mendapat subsidi kos haji. Kerajaan mengumumkan kos haji selepas subsidi tahun ini ialah RM9,980.

Kerajaan memberi subsidi RM12,920. Perihal subsidi ini diulang-ulang daripada kerajaan ‘Malaysia Lama’ hingga ‘Malaysia Baru’ mungkin ‘Malaysia Terbaru’ lima tahun lagi.

Inilah antara yang barunya dalam Malaysia Baru – subsidi kos haji untuk pengiring atau mahram tidak diberi secara automatik seperti ‘Malaysia Lama’. Dengan berpaksikan prinsip istito’ah tadi, yang ‘berkemampuan’ silalah tanggung sendiri kos sebenar mengerjakan haji. Bersyukurlah dengan ‘pembaharuan’ ini.

Harus diingat, ini baru permulaan prinsip istito’ah. Pengiring haji yang sekitar 200 hingga 300 orang setahun itu tidak semuanya mendapat subsidi kos haji. Kena baca secara subteks atau di sebalik teks, prinsip ini boleh digunakan untuk mewajarkan semua bakal haji akan kehilangan subsidi kos haji. Ini kerana yang tidak berkemampuan yakni membayar kos penuh, tidak boleh mengerjakan haji, sangat bertepatan dengan istito’ah yang dijaja itu.

Tambahan pula kos subsidi tahun ini mencecah RM400 juta juga diulang-ulang sebut dan tulis supaya pakcik, makcik dan tokwan memahami yang tersiratnya.

Maka dicadangkan TH segeralah menghapuskan semua subsidi kepada bakal haji, tidak kira yang ditawarkan giliran haji, yang merayu dan pengiring haji. Semua sekali.

Cadangan ini sangat bertepatan dengan TH pada era ‘Malaysia Baru’ yang mengamalkan prinsip istito’ah. Tambahan pula bakal haji yang diberikan subsidi kos haji menandakan mereka tidak berkemampuan.

Kalau pengiring pun dijadikan ukuran kemampuan, padahal perginya mereka bukan kerana suka-suka, laksanakan sekaligus kepada semua bakal haji. Apakah bezanya bakal haji dan pengiring?

Pada 16 Februari, Bernama melaporkan seorang bakal haji di Sibu, Sarawak, Hassan Udin dan isteri terpaksa menolak tawaran mengerjakan haji tahun ini kerana mahram iaitu anaknya terpaksa membayar kos tanpa subsidi RM22,900. Mereka berdua memerlukan bantuan mahram kerana uzur. Sedangkan kos selepas subsidi ialah RM9,980.

Hassan Udin bukan suka-suka membawa anaknya mengerjakan haji tetapi disebabkan keadaan mereka yang uzur dan memerlukan bantuan sepanjang masa. Maknanya keberadaan pengiring adalah sangat penting, kalau tidak, kedua-dua bakal haji tidak boleh mengerjakan haji.

Ini kontradik dengan kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof yang disiarkan Bernama 16 Februari yang menafikan subsidi kepada pengiring ditarik balik. Bernama melaporkan Dr Mujahid berkata, “Kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.”

Dalam laporan Bernama juga Dr Mujahid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan TH bagi mencari mekanisme sesuai untuk menentukan pemberian subsidi bagi yang merayu atau pengiring mahram. Begitu pula.

Kenyataan-kenyataan yang keluar agak mengelirukan. Bukankah lebih mudah kalau diringkaskan bahawa, “tidak semua pengiring diberi subsidi?” Atau “kerajaan meneruskan seperti sebelum ini.” Pantaslah sikit mengeluarkan ‘kenyataan rasmi’ .

Pegawai-pegawai media menteri juga perlu memainkan peranan menyediakan teks yang ringkas, mudah dan tepat untuk dihadamkan oleh rakyat. Maklumat mesti dipermudah supaya dapat mengalir dengan lancar daripada birokrat kepada rakyat. Pandu kenyataan dari mulut menteri supaya maklumat sampai dengan mudah kepada sasaran.

Nampaknya yang tular dalam media sosial adalah suatu yang benar selari dengan Facebook rasmi TH walaupun menteri tidak memberikan keyataan rasmi mengenai perkara ini. Facebook rasmi dan TH telah melakukan yang betul, terbaik dan pantas menjawab kerisauan dan ketidaktentuan maklumat yang sampai kepada rakyat.

Oleh hal yang demikian Dr Mujahid tidak perlu apologetik untuk melaksanakan prinsip ‘istito’ah’ ini dengan sepenuhnya. Hapus semua subsidi kos haji. Laksanakan. Dan TH dapat menjimatkan belanja RM400 juta setahun.

Lagipun itu masalah rakyat bukan masalah kerajaan. Biarlah rakyat menyelesaikan sendiri masalah mereka. Kerajaan bukan tidak tahu bahawa pemergian pengiring bukan ambil peluang atau suka-suka. Tetapi kerajaan laksanakan juga pemotongan subsidi kepada pengiring. Kenapa?

Jadi, kerajaan tidak perlulah beriya-iya supaya kelihatan memahami masalah rakyat. Tidak perlu. Lagi pun tidak elok lebih-lebihkan sangat memahami masalah orang Melayu dan Islam, nanti apa kata pula kaum lain.

https://kuseman.com/2019/02/19/hapuskan-saja-subsidi-haji/

PENAFIAN: Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian BebasNews.

Please follow and like us:

3 Responses to "Hapuskan saja subsidi haji…"

  1. Fuad Rahman  20/02/2019 at 1:20 pm

    Bila ditegur terus sentap. Katanya kjn dulu lebih teruk. Itu saja modal mereka. Kjn baru ni untuk siapa.

    Reply
  2. Zul  21/02/2019 at 11:34 am

    Ku Seman,

    minta huraikan definisi subsidi haji. Adakah subsidi ini ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji atau pun oleh Kerajaan. Definisi ini penting supaya rakyat jelas siapa yang menanggung subsidi.

    Sekiranya kerajaan yang menanggung, ia akan mengguna pakai RM400 juta bajet Jabatan Perdana Menteri.

    Sekiranya Lembaga Tabung Haji menanggung subsidi, kos ini akan tercatat dalam Penyata Prestasi Kewangan Lembaga Tabung Haji dimana penyata pendapatan Lembaga Tabung Haji mempunya rekod positif iaitu mencatat keuntungan dalam nilai RM bilion.

    Sekarang paling penting, rakyat tidak keliru. Penjelasan perlu di lakukan.

    Reply
  3. Markoko Jr  21/02/2019 at 12:18 pm

    ….harga naik haji ialah RM 22,900.00…so siapa yg mampu bolehlah pergi dulu ikut giliran. Bagi yg tidak mampu atau belum cukup tabungan dalam Tabung tu kena tunggu dulu sehingga cukup wang simpanan.

    Kalau nak beri subsidi hanya boleh diberi kepada bakal haji yg betul2 tidak mampu berdasarkan pendapatan isi rumah macam syarat pemberian subsidi minyak dan BSH.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.