Ming Lee, pelakon Malaysia pertama dan akhir dalam teater ‘Miss Saigon’ di Broadway

Ming Lee, pelakon Malaysia pertama dan akhir dalam teater ‘Miss Saigon’ di Broadway

 

Oleh MANSOR BIN PUTEH

 

PERKEMBANGAN teater di Malaysia kian rancak. Istana Budaya sebagai tumpuan ramai penggemar teater negara telah memberi banyak peluang sebagai persada untuk menyerlahkan bakat. Sehingga kini panggung teater utama negara itu telah banyak mementaskan persembahan  skala besar ala Broadway.

Dan dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa pelakon tempatan yang telah menempah nama mereka dalam bidang teater di pentas yang lebih gah dan bukan di sembarangan tempat – iaitu Broadway di bandar raya New York.

‘Kalau anda tidak pernah menonton drama Broadway, anggaplah anda belum lagi sampai ke Bandaraya New York!’ – kata ramai.

Tetapi, kita belum lagi berani berkata ‘Kalau anda belum menonton drama di Istana Budaya, anggaplah anda belum lagi tiba di Kuala Lumpur!’

Ming Lee atau nama penuhnya Chan Ming Lye, berkelulusan bidang bahasa Inggeris daripada Universiti Malaya sebelum berhijrah ke London beberapa tahun untuk bergiat dalam bidang muzik, kemudian ke Montreal, Kanada di mana beliau memajukan bidang nyanyian dan muziknya dalam genre jazz.

Selepas London, beliau pulang ke tanah air dan bekerja sebagai pensyarah bahasa Inggeris di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam yang kini Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tetapi, nasibnya berubah apabila dapat peluang mencuba bakat dalam bidang seni lakon yang sememangnya beliau telah menabur minat sejak di Universiti Malaya (UM) lagi.

Beliau juga seangkatan dengan pelakon teater di UM seperti Mustafa Noor, Johan Jaafar, Mano Maniam dan ramai lagi.

Sekeping gambar yang beliau tunjuk kepada saya diambil semasa acara tahunan sekolah rendah bila emak beliau mengadakan persembahan tarian Melayu dalam mana Ming memakai baju Melayu lengkap dengan songkok dan samping sambil mengayunkan tarian joget.

Sewaktu di ITM juga saya terserempak dengan Ming, nama panggilan yang disenanginya, semasa beliau keluar dari kantin pensyarah di hadapan perpustakaan.

Tidak sangka juga saya akan bertemu dengannya lama kemudian setelah beliau habis berlakon dalam drama ‘Miss Saigon’ dan pulang bercuti di Malaysia untuk beberapa bulan di mana beliau terus giat berlakon drama pentas di Kuala Lumpur, walaupun menetap di New York.

Berbalik kepada drama ‘Miss Saigon’ terbitan Cameron McIntosh, Ming berpeluang untuk menguji bakatnya bagi persembahan di Toronto, Kanada, tetapi pihak penerbit di Toronto sebaliknya berpendapat beliau lebih sesuai untuk persembahan di New York.

Akhirnya Ming kekal bersama ‘Miss Saigon’ selama tujuh tahun sepanjang 10 tahun pementasan teater daripada 1991 hingga 2001. Ming bersama trup ‘Miss Saigon’ daripada 1994 hingga 2001.

Justeru, dengan pembabitannya di New York, Ming muncul sebagai pelakon Malaysia pertama dan yang terakhir berlakon dalam sebuah drama utama Broadway, dan dengan secara tidak langsung mencipta sejarah teater Malaysia.

Malangnya kejayaan Ming sehingga kini tidak lagi diiktiraf oleh mana-mana pihak, termasuk Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dan Istana Budaya.

Lebih malang lagi, pihak di Malaysia tidak menggunakan pengalamannya itu untuk usaha memajukan bidang teater negara.

Saya berpeluang berbincang dengan Ming baru-baru ini di sebuah rumah usang dan terbiar di Pangsun, Hulu Langat, Selangor, di mana beliau selalu pergi untuk mendapatkan ketenangan. Susur masa pengelamannya yang saya dapati amat luar biasa – sesuatu yang saya akan muatkan ke dalam sebuah buku tentang teater kita yang berjudul, ‘Ini sahajakah teater kita?’

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.