Jeram di Tunjang dan Gua Pindul di Jogja

Jeram di Tunjang dan Gua Pindul di Jogja
Gambar atas: Siluet setelah matahari terbit dari Punthuk Setumbu, Jogjakarta menghadap puncak Gunung Merapi yang sedang aktif meluahkan asapnya. Gambar ini diambil oleh penduduk kampung yang mengambil upah.

 

Malaysia sendiri terlalu banyak tempat yang boleh dijadikan produk pelancongan yang menarik — asalkan kita kreatif dan inovatif.

 

 

JERAM, Tunjang dalam daerah Kubang Pasu di Kedah adalah perkampungan sawah padi — terletak di antara pekan Jitra dan Kodiang.

Penduduknya cukup kreatif. Mereka menukar perkampungan itu sebagai perkampungan inap desa yang hebat. Rumah-rumah dijadikan B&B (tidur & sarapan) serta homestay (inap desa) yang lumayan.

Tidur dan menyerok pagi (sarapan) pakej 4 hari 3 malam di kampung itu ialah antara RM300 dan RM500 seorang.

Pendek kata penduduk di situ hidup mewah dengan pendapatan pelancongan, hasil kreativiti mereka.

Ia adalah lokasi pelancongan yang cukup hebat.

Apa produk pelancongan di situ? Perkampungan bendang padi di situ dijadikan lokasi untuk para pelancong atau wisata yang mahu mengalami suasana desa dan bendang padi.

Pemandu pelancong terdiri daripada anak mukim petah bercerita dan menyusun jadual lawatan.

Jambatan gantung dan gondola di Pantai Timang, Jogjakarta, salah satu tarikan pelancongan dunia.

Tali-tali airnya dari Kampung Raja sehingga ke Jalan Stesen Kereta Api di situ merupakan tempat mengail ikan-ikan sawah seperti puyu, sepat dan haruan. Mereka juga boleh belajar untuk menahan taut dan lukah bagi memerangkap haruan sebesar betis. Atau (jika masih adalah) boleh menangkap anak karin atau ikan laga yang berwarna-warni dalam petak-petak bendang.

Di tali air itu juga mereka boleh menyusuri dengan perahu-perahu kecil.

Pada musim menanam padi, mereka boleh merasai suasana itu. Di musim mengerat padi mereka boleh belajar cara “memukul” (membanting) padi bagi memisahkan padi dan jerami. Dikembalikan suasana tradisional — yang kini sudah hilang dek teknologi mesin menuai harvester.

Pada musim Timur (panggilan orang bendang di Kedah bagi musim kering), ada pakej bermain wau atau layang-layang, kerana di masa itu angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.

Suasana dalam Gua Pindul sambil mendengar cerita oleh pemandu pelancong, Joko.

Di Kampung Pulau Timbul di mukim Jeram itu, para pelancong boleh melihat cara-cara ringgi dibuat.

Mereka juga boleh turun ke bendang untuk mengetam padi pulut untuk dijadikan ringgi itu. Proses mengetamnya hanya boleh dilakukan pada waktu subuh sewaktu embun membasahi pokok padi.

Ringgi ialah padi pulut muda yang diproses menjadi emping segar dan dimakan dengan kelapa parut. Di kampung itu mereka sering memakan emping ringgi itu dengan susu kerbau.

Ia adalah makanan eksotik yang hanya terdapat di kampung itu.

Pelancong juga boleh menikmati makanan tradisi seperti asam pedas sayur keladi ikan puyu, ikan pekasam goreng, nasi ulam kerisik Kedah, daging salai cicah air asam, laksa pucuk putat, serta kuih-muih meneram, karas, tepung bungkus, pulut udang, cucur badak…

Pelancong menaiki kenderaan untuk ke Sungai Oya bagi menyusuri sungai ke Gua Pindul.

Mereka juga boleh belajar mengayam tikar dari daun mengkuang.

Bukan itu saja, sambil berbasikal ramai-ramai mereka juga boleh mendalami sejarah makam Sultan Kedah ke-14 di Kampung Chegar.  Almarhum Sultan Mahyudin Mansor Shah  memerintah Kedah dari 1650 hingga 1660. Juga makam Panglima Perang.

Maka itu, ramailah pelancong dari Singapura berpusu-pusu datang ke perkampungan itu untuk merasai suasana kehidupan desa, yang tiada terdapat di kota batu mereka. Bagi mereka pakej berharga antara RM300-RM500 itu terlalu kecil bagi mereka, tetapi cukup lumayan bagi penduduk kampung itu.

Bagaimanapun, apa yang saya ceritakan di atas itu hanyalah kisah khayalan.

Ekspedisi menyusuri Sungai Oya menaiki pelampung untuk ke Gua Pindul.

Saya harap ia akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Itu pun jika pihak berkuasa pelancongan termasuk agensi pertanian seperti MADA — berhenti cakap politik — sebaliknya turut proaktif dan kreatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Saya sebenarnya berada di JOGJAKARTA (atau dikenali sebagai Jogja), Indonesia. Pertama kali saya sampai di sini.

Sebelum saya ke sini, saya tidak mengetahui banyak mengenainya. Apa yang saya tahu hanyalah Candi Borobudur iaitu salah satu tujuh benda ajaib dunia dan istana kesultanan Kraton.

Para pelancong melambai ke arah pesawah yang mengerat padi di Timang, Jogjakarta.

Namun apabila saya mengikuti pakej pelancongan di sini, baharu saya sedar orang Indonesia cukup kreatif dalam mengusahakan pelancongan atau wisata.

Saya ke salah satu tempat iaitu Gua Pindul. Ia adalah sebuah perkampungan yang hanya mempunyai sungai, sawah serta sebuah gua.

Di sungai itu mereka melakukan pelayaran menyusur sungai menggunakan pelampung angin. Semua pelancong duduk di atas pelampung itu, yang bersambungan dengan setiap seorang memegang pelampung itu.

Pengalamannya cukup mengujakan. Kemudian kumpulan pelancong itu menyeberangi sungai untuk ke sebuah tasik mata air, dan menyusuri ke dalam sebuah gua dikenali sebagai Gua Pindul.

Kita menaiki pelampung yang sama dan bersambungan dengan rakan-rakan pelancong.

Yang mengujakan saya pemandu pelancong, yang juga anak mukim kampung di situ, cukup petah bercerita semasa menyusuri dari sungai sehinggalah ke gua itu.

Joko, pemandu pelancong itu berkata hasil pelancongan di situ adalah usaha penduduk kampung di situ sendiri.

Semasa mula-mula pelancongan air itu dimulakan penduduk kampung dilatih oleh pihak berkuasa pelancongan negara mengikuti kursus — cara mengurus produk yang dikenal pasti, mengurus pelancong, bahasa serta kreativiti produk.

Itu adalah satu pengalaman yang saya saksikan. Semuanya melibatkan produk yang diusahakan oleh penduduk kampung sendiri.

Saya juga sempat memegang matahari terbit dari Punthuk Setumbu, Jogjakarta. Di sepanjang dari kaki bukit hingga menyusuri tangga ke puncak, penduduk kampung meraih rezeki dari para pelancong hasil jualan kraftangan dan makan minum.

Begitu juga produk lain iaitu mendaki Punthuk (Puncak) Setumbu bagi melihat matahari naik menghadap Candi Borobudur dan Gunung Merapi;

Serta, ke Pantai Timang untuk menaiki jambatan gantung dan gondola ke terumbu batu, yang pada asalnya digunakan oleh nelayan untuk memunggah ikan.

Kini dengan sedikit inovasi orang kampung, pantai itu terkenal di seluruh dunia.

Pemandangan dari Punthuk Setumbu sebelum matahari terbit menghadap Gunung Merapi yang sedang melepaskan asap dan kelihatan bucu Candi Borobudur di sebelah kanan.

Semasa dalam bas untuk pulang ke hotel, pemandu kami Anton berkata “apa kata kita berhenti makan durian Indonesia?” Maka ramailah kami bersetuju.

Namun, durian Malaysia tiada tandingannya.

Kesimpulan, sebenarnya di Malaysia sendiri terlalu banyak tempat yang boleh dijadikan produk pelancongan yang menarik — asalkan kita kreatif dan inovatif.

Sungai Korok, Sungai Kelantan, Sungai Perak di Kuala Kangsar, Kampung Pulau Tiga, Sungai Muar, Sungai Pahang atau Sungai Klang (ala Sungai Melaka) misalnya boleh dijadikan produk pelancongan pelayaran menyusur sungai atau river cruise yang menarik jika diusahakan. Pelbagai sejarah boleh diceritakan di sepanjang laluan itu.

Malang sekali orang luar hanya mengenali Thailand, Bali dan seluruh lndonesia sebagai destinasi pelancongan, bukannya Malaysia.

Sayang sekali iklan Malaysia Truly Asia pun sudah senyap lama, kerana kononnya kementerian tiada bajet.

Dan sebaliknya Wonderful Indonesia! dan Amazing Thailand terus berkumandang…

— BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "Jeram di Tunjang dan Gua Pindul di Jogja"

  1. saharuddin  25/02/2019 at 9:36 pm

    Dato’, pakej perlancongan di Tasik Kenyir, Terengganu, makam-makam sultan di sepanjang Sungai Perak, Candi di Sungai Petani sudah sediaada tapi kurang dipromosikan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.