Dakwaan kerajaan negeri tukar nama jalan tidak berasas – MB Perak

0
75

IPOH– Dakwaan yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Perak akan menukar nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini kepada nama baharu, Jalan Koo Chong Kong, adalah tidak berasas, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, beliau berkata hasil semakan mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasi sekeping surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri bertarikh 26 Feb lepas.

Katanya surat itu bertujuan memaklumkan bahawa KKM telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri untuk menukar alamatnya daripada Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong.

“Langkah itu bertujuan bagi mengemas kini dan menyeragamkan alamat pejabat Jabatan Kesihatan Negeri bagi kemudahan orang ramai dan urusan surat-menyurat,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Ini adalah bersandarkan kepada lokasi pintu masuk utama bangunan Pejabat Kesihatan Negeri dan ia telah disahkan oleh Jabatan Warisan Negara serta Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya.

Ahmad Faizal berkata bangunan Tabung Haji yang terletak bersebelahan dengan bangunan Jabatan Kesihatan Negeri turut menggunakan alamat Jalan Koo Chong Kong dan bukannya Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

“Apa sahaja maklumat yang disebarkan mengenai pertukaran alamat Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan  masyarakat berbilang kaum dan agama.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri menyeru semua pihak supaya berhenti menyebarkan maklumat yang tidak berasas bagi mengelakkan keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here