RM50,000 habuan pertandingan memancing di Pulau Besar

RM50,000 habuan pertandingan memancing di Pulau Besar

Pertandingan ini diadakan juga bagi membantu mempopularkan Pulau Besar sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi

 
BUAT julung-julung kalinya Pulau Besar di Pernu, Melaka menjadi lokasi Pertandingan Memancing Persisiran Pantai di pulau berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai dan pelbagai barangan lain keseluruhan bernilai RM50,000 menanti kaki pancing yang akan diadakan pada 24 Mac ini.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 diikuti RM5,000 bagi naib juara dan tempat ketiga pula menerima RM3,000 diikuti RM1,000 untuk pemenang tempat keempat serta kelima, manakala RM500 (tempat keenam hingga ke-10), RM300 pula (dari tempat ke-11 hingga ke-30), RM150 (tempat ke-31 hingga ke-50) dan hamper (dari tempat ke-51 hinhha ke-100).

Pertandingan yang pertama kali diadakan di Pulau Besar itu adalah anjuran Pertubuhan Kebajikan Majlis Rantaian Ilmu
Malaysia (MRIM) Melaka bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.

Azaharudin Mahad

Pengerusi MRIM, Azaharudin Mahad berkata, pemilihan Pulau Besar dibuat kerana belum pernah sebarang pertandingan
memancing diadakan di situ dan ini adalah peluang terbaik kepada kaki pancing dapat merasa peluang memancing di pulau berkenaan.

“Pertandingan ini diadakan juga bagi membantu mempopularkan Pulau Besar sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi. Pihak MRIM menyasarkan seramai 2,500 peserta yang bukan sahaja datang dari Melaka tetapi juga dari luar untuk mengambil bahagian.

“MRIM mengharapkan lebih ramai kaki pancing datang untuk menyertai pertandingan ini termasuk peserta dari Melaka
sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini (27 Februari).

Menurut Azaharudin, pertandingan yang disokong oleh Kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu dijadualkan akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd. Yusof dan penyampaian hadiah pula oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis.

Beliau berkata, yuran penyertaan yang dikenakan kepada setiap peserta dengan sebatang joran ialah RM120. Bayaran tersebut termasuk tiket feri atau bot pergi balik dari jeti Anjung Batu, Jeti Nelayan Pantai Siring dan Jeti Umbai.

PESISIR pantai Pulau Besar di Melaka bakal menjadi lokasi pertandingan memancing pada 24 Mac ini.

“Baju-T percuma turut disediakan kepada 1,000 peserta terawal yang mendaftar dan pertandingan akan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari,” ujarnya lagi.

Jelasnya, selain hadiah wang tunai kepada pemenang, turut disediakan ialah hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal serta pelbagai barangan elektrik.

Bagi yang ingin mendaftar awal, bayaran boleh dibuat melalui akaun Bank Rakyat (11-091-100865) di atas nama Pertubuhan Kebajikan Majlis Rantaian Ilmu Malaysia (MRIM), manakala kaunter pendaftaran akan mula dibuka kepada peserta pada 21 hingga 23 Mac di Jeti Anjung Batu serta Jeti Umbai.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Azaharudin pada talian 011-11299983.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.