Sesi wawancara Najib melenting bersama TV Al Jazeera menang anugerah di London

Sesi wawancara Najib melenting bersama TV Al Jazeera menang anugerah di London
Gambar atas: Al Jazeera

 

BERSAMAAN beberapa pemenang pelbagai kategori dalam Anugerah Kewartawanan Televisyen RTS 2019 di London hari ini, wawancara di mana Najib melenting telah meraih Anugerah Wawancara TV Terbaik 2019.

Segmen tersebut merupakan sesi wawancara eksklusif untuk program Al Jazeera 101 East  yang berjodol, “Malaysia: Najib Speaks.”

Yang mengejutkan dan menarik perhatian dunia apabila Najib melenting beberapa kali setelah diasak untuk menjelaskan beberapa isu oleh wartawan TV Al Jazeera, Mary Ann Jolley.

Pada mulanya setelah wawancara itu berakhir dan Najib dengan muka marah dan beredar dari set, reaksi daripada dunia kewartawanan dan juga orang awam seolah-olah tidak percaya seseorang yang dianggap pemimpin ‘bertaraf dunia’ boleh melenting apabila berdepan dengan seorang wartawan.

Hasil kerja Mary Ann Jolley terpilih kerana menurut panel juri ‘RTS Television Journalism Awards 2019’ apa yang tersiar merupakan contoh hebat kepakaran wartawan dalam mengendalikan sesebuah wawancara.

Pendekatan forensik yang diambil oleh wartawan berkenaan didapati begitu menekan dan pengetahuan beliau tentang subjek serta kesungguhan berteraskan profesionalisme telah melonjakkan namanya dalam dunia kewartawanan.

Pada November lalu apabila ditanya oleh LITE Radio, Mary Ann Jolley berkata beliau terkejut apabila berdepan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia itu kerana beliau tidak membuat persiapan mencukupi untuk diwawancara oleh TV.

101 East is thrilled to announce we’ve been awarded Interview of the Year at the prestigious Royal Television Society…

Posted by 101 East – Al Jazeera on Rabu, 27 Februari 2019

Menurut beliau sebagai seorang mantan Perdana Menteri adalah amat menghairankan mendapati Najib tidak dapat menguasai banyak soalan yang diajukan kepadanya.

Mary Ann Jolley juga mengupas senario sebelum wawancara berlangsung di mana beliau berkata sepatutnya para penasihat Najib melengkapkan beliau (Najib) dengan strategi dan jawapan.

Najib kemudian memohon maaf kerana melenting semasa wawancara itu. Beliau juga telah menuduh Al Jazeera dan Mary Ann Jolley berpendirian tidak adil apabila menggasak beliau berhubung kes pembunuhan Altantuya.

Selain wawancara Al Jazeera bersama Najib, turut memenangi anugerah termasuk CNN dengan laporan khas tentang peletakan jawatan Robert Mugabe di Zimbabwe, BBC untuk laporan kebakaran di bangunan Grenfell di London, Channel 4 (UK) tentang pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di Myanmar, dan lain-lain.

Anugerah tersebut meraikan kewartawanan terbaik dan kreatif hasil penerbitan organisasi yang siaran mereka dipancarkan melalui platform di United Kingdom.

Kategori yang dicalonkan termasuk, Berita Terkini (Breaking News), Jurukamera Terbaik, Hal Ehwal Semasa (Antarabangsa), Program Berita, dan Wawancara Terbaik, antara lain.

 

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.