QSR Brands bakal jadi pembekal bahan api bio di Malaysia

0
0
(DARI kiri) Vinesh Sinha, Eddy Leong, Mohamed Azahari Mohamed Kamil, dan Ling Mee Jiuan (COO QSR Brands).

Bersama FatHopes sebagai rakan kerjasama lestari, membolehkan QSR Brands memberi tumpuan lebih terhadap perniagaan teras, bagi menghidangkan perkhidmatan terbaik kepada jutaan pelanggan setiap bulan.

 
TAHUKAH anda QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali restoran KFC dan Pizza Hut, bakal menjadi pembekal bahan api bio di Malaysia pula?

Menjalin kerjasama strategik bersama FatHopes Energy Sdn Bhd (FatHopes Energy), QSR Brands melancarkan inisiatif mampan dan mesra alam di dalam operasinya menerusi pemprosesan sisa minyak kepada bahan api industri.

Inisiatif ini merupakan sebuah usaha bagi memacu perubahan ke arah kesejahteraan sosial dan persekitaran, di samping menjana bekalan bahan api bio dari Malaysia secara berterusan.

DARI kiri, Merrill Christopher Pereyra, Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Vinesh Sinha.

Sebuah memorandum perjanjian (MoA) telah dimeterai menerusi pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Restoran QSR Brands, Merrill Christopher Pereyra dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy, Vinesh Sinha.

Majlis telah disaksikan oleh Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim bersama Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil pada sebuah majlis yang berlangsung di KFC Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi FatHopes Energy, Datuk Eddy Leong.

Kamaruzzaman menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan sebuah langkah progresif dalam usaha kelestarian QSR Brands serta sejajar dengan matlamat perangkaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang telah diperbaharui.

“Inisiatif ini secara sosialnya disasarkan bagi menyalur hasil minyak terpakai kepada aplikasi perindustrian yang boleh dikesan, sekali gus menentang risiko penggunaan minyak kitar semula di dalam penyediaan makanan harian rakyat Malaysia.

“Manakala, impak positif terhadap alam sekitar dihasilkan menerusi pertukaran minyak terpakai kepada bahan api bio yang bermaksud sejumlah besar karbon tidak lagi dibebaskan ke atmosfera.

“Akhir sekali, inisiatif ini turut menyumbang manfaat dalam aspek ekonomi menerusi peningkatan pendapatan daripada pertambahan kutipan isi padu pemulihan minyak masak terpakai dari restoran-restoran KFC,” kata beliau.

Mohamed Azahari pula menyatakan bahawa sistem FHE iTank direka bagi memperbaiki kecekapan operasi dapur restoran dengan menghapuskan pengendalian minyak terpakai secara langsung, di samping meningkatkan hasil kutipannya secara ketara.

Sistem FHE iTank milikan FatHopes Energy, adalah sebuah sistem pengumpulan minyak terpakai berinovasi yang akan dipasang di semua restoran KFC.

“Kami amat menyokong teknologi pemulihan sisa inovatif oleh FatHopes Energy, kecekapan sasaran aplikasi mereka untuk peringkat komersial serta minat yang mendalam terhadap inisiatif kitar semula sisa kepada tenaga (waste to energy).

“Bersama FatHopes sebagai rakan kerjasama lestari, membolehkan kami memberi tumpuan lebih terhadap perniagaan teras kami, bagi menghidangkan perkhidmatan terbaik kepada jutaan pelanggan setiap bulan,” katanya.

Menyuarakan keyakinannya terhadap kerjasama ini, Vinesh Sinha berkata, kolaborasi bersama QSR Brands menandakan sebuah lagi detik penting dalam perjalanan FatHopes Energy serta ia merupakan usaha yang wajar dijadikan contoh dan diterapkan dalam industri.

“Kami sedar akan kepelbagaian sifat dalam permasalahan iklim dan alam sekitar serta kekangan sesebuah syarikat untuk bertindak secara sendiri dalam menangani cabaran sebegini.

“Tetapi kami kekal memberi tumpuan dan proaktif dalam mencari serta meneroka penyelesaian bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar, selain membawa pulangan kepada ekonomi.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang ditunjukkan olah QSR Brands dan sedia untuk menawarkan kepakaran serta kebolehan kami dalam menyediakan penyelesaian inovatif bagi menguruskan sisa minyak dari restoran KFC menerusi kaedah yang beretika dan bertanggungjawab,” ujar Vinesh.

Inisiatif bersama FatHopes Energy ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula dari pemasangan FHE iTank di restoran KFC seluruh Malaysia, serta turut berpotensi dikembangkan kepada operasi Singapura.

Kedua-dua pihak sedang dalam perbincangan bagi peringkat kedua kerjasama berkenaan, di mana FatHopes Energy akan mengendalikan kilang biodiesel QSR Brands di Port Klang bagi tujuan pemprosesan sisa ke bahan api bio.

Menerusi kendalian FatHopes Energy, keupayaan operasi tapak sedia ada berkenaan dapat dipertingkat bagi memacu agenda global ke arah penyahkarbonan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai perintis dalam penghasilan bahan api bio berasaskan sisa.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here