UiTM Giat Tingkat Prasarana

UiTM Giat Tingkat Prasarana

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) kenal pasti 16 projek utama bernilai kira-kira RM35 juta yang akan dipercepatkan di 11 kampus cawangan universiti itu di seluruh negara.

Usaha tersebut merupakan inisiatif berteraskan keprihatinan bagi keselesaan pelajar dan tenaga pengajar di UiTM.

Demikian menurut Naib Canselor UiTM Profesor Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata bermula tahun ini beliau akan memberikan perhatian lebih khusus dalam mempergiatkan pelbagai usaha menaik taraf dan memperbaiki prasarana yang ada di seluruh kampus UiTM.

Tambahnya lagi, selain peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan, UiTM juga sentiasa giat dalam mencari idea baharu bagi menjana pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan projek penambahbaikan tersebut.

Gambar lawatan ke kolej: (Dua dari kanan) Prof Ir Dr Azraai Kassim (Naib Canselor UiTM), PM Dr Mohd Fozi Ali (Timbalan Naib Canselor Pembangunan) dan Prof Dato’ Dr Abdullah Mohd Said (Mantan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar) melawat kolej kediaman pelajar di UiTM Shah Alam.

Sejumlah 16 projek utama yang telah dikenal pasti itu termasuk:

  • Pembaikan struktur dan naik taraf kolej di UiTM Cawangan Sarawak Kampus. Samarahan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh serta UiTM Cawangan Kedah.
  • Pembaikan dan naik taraf makmal di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.
  • Pembaikan perpustakaan di UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
  • Pembaikan dan naik taraf bilik dan dewan kuliah di UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun.
  • Pembinaan dan menaik taraf Masjid di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi serta Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Nilai.
  • Penggantian tangki sedutan dan tangki di UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, UiTM Cawangan Kedah dan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Chendering.
  • Penggantian lif penumpang di UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya dan UiTM Cawangan Selangor Kampus Shah Alam; dan penggantian sistem penghawa dingin di UiTM Cawangan Selangor Kampus Shah Alam
  • Menyediakan padang bola baharu di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh

 

—BebasNews
Please follow and like us:

One Response to "UiTM Giat Tingkat Prasarana"

  1. Pingback: UiTM Giat Tingkat Prasarana | Persatuan Alumni UITM Malaysia (PAUITM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.