[VIDEO] Aduh, single baharu Zamani

[VIDEO] Aduh, single baharu Zamani

Single Aduh merupakan hadiah istimewa kepada peminat tegarnya yang tidak jemu menyokong perjalanan seninya sejak bergerak solo pada 2002.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 
TANPA lagu baharu, Zamani, vokalis kumpulan Slam masih lagi menjadi perhatian pihak penganjur dan sering diundang menjayakan pertunjukan pentas secara terbuka atau tertutup.

Kelibat Zamani sentiasa dinanti oleh para peminat tegar kerana lagu-lagu dendangannya bersama kumpulan Slam seperti Gerimis Mengundang, Kembali Terjalin, Tak Mungkin Berpaling dan Jika Kau Rasa Getarnya tak pernah sepi daripada menjadi siulan peminat muzik tempatan.

Bagi meneruskan kelangsungan kerjaya seninya dalam industri hiburan tanah air, pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) itu pilih untuk tampil dengan single baharu berjudul Aduh.

Jika selama ini Zamani lebih kepada genre muzik pop balada, untuk lagu Aduh ciptaannya bersama Faizal Tahir, Adib Hussin dan Mike Chan ini lebih kepada pop kontemporari.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Zamani, 48, tidak ada masalah dengan penukaran genre muzik kerana dia tetap dapat menjiwai lagu tersebut sewaktu rakaman.

“Lagu Aduh berkisar tentang kisah percintaan yang tidak kesampaian. Kisah begini berlaku kepada sesiapa sahaja dan saya tidak ada masalah untuk menjiwainya kerana lagu begini sudah biasa saya dendangkan sebelum ini.

“Saya harap kolaborasi dengan Faizal dapat memberikan sesuatu yang baharu kepada peminat saya selepas tiga tahun tidak ada lagu baharu,” katanya yang kali terakhir merakam lagu Tambatan Hati pada 2016.

Bagi Zamani, single Aduh merupakan hadiah istimewa kepada peminat tegarnya yang tidak jemu menyokong perjalanan seninya sejak bergerak solo pada 2002.

Lagu Aduh terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music sebagai pengedar boleh didapati di pelantar digital seperti Spotify, ITunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music mulai hari ini ( 1 Mac).

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.