Pas dan budak bernama Kudut…

0
3

Kudut fikir, perempuan mudah dibuli. Itulah kesilapan pertamanya. Jangan cari pasal dengan perempuan. Menang malu, kalah pun malu.

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

 
SUATU ketika dahulu ada seorang budak lelaki bernama Kudut. Badannya kudut, mukanya kudut, rambutnya pun kudut, sebab itu kawan-kawan menggelarnya Kudut.

Seperti yang dikatakan tadi, Kudut ini badannya kudut, bukannya besar, tinggi dan otot berketul-ketul. Tetapi Kudut ini perangainya entah apa-apa. Dia suka menyakitkan hati kawan menyebabkan kawan-kawan naik angin dan akhirnya, bergaduh.

Namun itulah sifat Kudut. Dia memang suka mencari gaduh. Ini kerana, dengan bergaduh Kudut dapat menunjukkan bahawa dirinya kuat. Apabila dapat menunjukkan dirinya kuat, Kudut akan dapat melebarkan pengaruh. Kawan-kawan yang sama kepala dengannya akan berlindung di bawah ketiaknya. Dengan mempunyai ramai geng, Kudut ditakuti.

Begitulah rantaiannya, dengan ditakuti, mudahlah Kudut menyakitkan hati kawan lain, mencari gaduh dan membuli.

Tapi juara tinju dunia, Muhammad Ali lagi kan tumbang. Begitu juga Mike Tyson. Sehebat-hebat mereka, akhirnya rebah juga ke lantai. Begitulah dengan Kudut.

Suatu hari Kudut mencari pasal dengan seorang pelajar perempuan. Kudut fikir, perempuan mudah dibuli. Itulah kesilapan pertamanya. Jangan cari pasal dengan perempuan. Menang malu, kalah pun malu.

Oleh kerana tidak tahan diejek-ejek oleh Kudut, pelajar perempuan ini telah mengambil penyapu lidi di kelasnya lalu melibas-libas si Kudut. Habis berbilai-bilai muka, tangan dan tengah belakang Kudut. Tidak ada belas kasihan.

Kudut hendak melawan, tetapi kawan-kawan pelajar perempuan tadi menyerangnya dengan penyapu dan pembaris. Kawan-kawan yang menyaksikan kejadian itu mentertawakan Kudut.

Akhirnya Kudut meraung, sakit campur malu. Tetapi dasar budak yang perangainya suka menyakitkan hati orang, dia takkan mahu mengaku kalah.

Kudut mengejek dan menjelir-jelirkan lidah kepada pelajar perempuan tadi. Ini kesilapan keduanya!

Sebelum saya tamatkan kisah ini dan saya beritahu anda siapa Kudut yang sebenar, cuba anda teka, agaknya apakah yang berlaku kepada Kudut apabila pelajar perempuan itu naik hantu? Nanti saya sambung..

Sekarang kita tukar saluran kepada kisah Pas

Sebenarnya perangai Pas sama dengan Kudut. Pas suka berasa dirinya besar. Dirinya sentiasa betul dan orang lain sentiasa salah.

Bila berkawan, sekejap sahaja. Pasti akan bergaduh. Ini kerana Pas sentiasa mahu menjadi abang besar. Dia mesti menjadi ketua. Akhirnya, parti-parti lain takut hendak berkawan dengan Pas. Sebab semua orang tahu, berkawan dengan Pas pasti akan menyusahkan diri sendiri. Mereka akan dilabel ekstrem seperti Pas.

Baru-baru ini Pas bergaduh dengan seorang perempuan. Namanya Clare Rewcastle Brown, Editor Sarawak Reports. Kalau diikutkan lagak bengisnya, Pas kelihatan tidak akan ada belas kasihan. Pasti Clare akan dicincang lumat hingga dimasukkan ke liang lahad.

Tetapi anehnya, Pas pula yang tewas. Rupa-rupanya Clare bukan perempuan yang boleh digertak. Rupa-rupanya Clare mempunyai jurus-jurus rahsia yang amat padu pukulannya. Dan rupa-rupanya juga Pas ini seperti Kudut, hanya gempak saja supaya orang lain takut kepada dirinya, supaya ia nampak kuat dan gengstar.

Akhirnya Pas ‘mengaku kalah’ dengan menarik balik samannya, termasuk membayar RM1.422 juta kepada Clare. Ia dianggap kekalahan yang amat memalukan. Maruah Pas ibarat kaca jatuh ke batu. Hancur berkecai. Bayangkan, seorang yang mendakwa dirinya difitnah tiba-tiba membayar jutaan ringgit kepada orang yang didakwa memfitnahnya dan fitnah tadi tidak perlu ditark balik serta boleh terus disebarkan. Pas membayar untuk fitnah!

Tetapi Pas ini masih tidak insaf. Tiba-tiba para penyokong dan Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan mendakwa akaun yang digunakan untuk pembayaran RM1.422 juta dari pihak Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang kepada Clare, adalah palsu.

Kata Nasrudin, kepalsuan itu dikesan selepas kawan-kawannya membuat siasatan dengan memasukkan derma RM5 ke akaun berkenaan. Mereka dapati akaun itu tidak wujud.

Di sinilah lucunya Nasrudin, dan para penyokong Pas. Mereka umpama Kudut yang sudah kalah, tapi masih lagi mengejek dan menjelirkan lidah untuk menyakitkan hati orang.

Bayangkan, Clare sanggup berdepan dengan mahkamah untuk mempertahan dakwaannya bahawa ada pemimpin Pas menerima duit daripada UMNO, ini bermakna beliau sudah membuat siasatan yang sangat terperinci sebelum membuat dakwaan itu.

Kalau hal yang sebegitu rumit pun beliau pastikan kesahihannya, takkanlah beliau mahu menipu dengan menggunakan akaun palsu. Orang yang menguruskannya pula bukan calang-calang peguam.

Bandingkan usaha Clare dengan siasatan penyokong Pas. Siasatan mereka habis setakat wang derma mereka tidak diterima kerana akaun tidak wujud. Kenapa ia tidak wujud, kenapa nombor akaun hanya ada 10 bukannya 14, tidak mereka siasat. Terus buat kesimpulan, akaun itu palsu dan Pas sedang difitnah oleh musuh Islam serta kafir harbi! Aduhai…

Tindakan mendakwa akaun tersebut palsu adalah perbuatan mengejek-ejek yang hanya akan menambah bala. Meraka akan ditertawakan lebih kuat kerana fakta yang akan muncul kelak pasti lebih pedih tikamannya.

Seperkara lagi, sesiapa pun akan berasa pelik, kenapa Nasruddin beriya-iya hendak mempertikai akaun itu, sedangkan Presiden Pas, Setiausaha Agung dan semua kepimpinan Pas yang terlibat dalam kes berkenaan ada di depan matanya. Tanya saja mereka, akan dapatlah jawapannya.

Agaknya, kenapa perkara ini terjadi?

Untuk persoalan itu, di sini ada dua kemungkinan. Pertama, agaknya Nasrudin tidak berani bertanya kepada Hadi, kerana bimbang akan dibohong syarie. Kedua, agaknya Nasrudin sedang berbohong syarie untuk mengelirukan rakyat Malaysia, demi maslahat partinya. Mungkin… saya cakap MUNGKIN. Jangan spin, ya.

Kembali kepada siapa Kudut?

Kudut sebenarnya hanyalah watak rekaan saya semata-mata. Sengaja saya membohongi anda semua sebab sekarang ini bohong sudah dihalalkan demi kemaslahatan umat yang lebih besar.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here