[SELAK] Usah selesa selepas menang

2
43

Hubungan UMNO-Pas masih baharu dan dicemburui. Kerenah MCA dan MIC perlu ditangani agar tidak kusut. Musuh tidak akan berdiam diri, sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menangguk di air keruh.

 

MENANG tetapi ada yang bertanya apa Barisan Nasional (BN) boleh buat? Benar kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih tidak mengubah apa-apa kedudukan pentadbiran kerajaan di negeri Selangor. Sebaliknya ada yang tersurat dan tersirat di sebalik kemenangan BN itu. Hakikatnya BN memenangi semula kerusi DUN Semenyih. Kemenangan itu juga dapat diterjemahkan sebagai kejayaan pembentukan kerjasama UMNO-Pas seterusnya merintis perubahan landskap politik negara. Pengundi Melayu dan Islam telah memberi isyarat menolak PH sementara pengundi Cina tidak berbelah bahagi memberi sokongan kepada PH yang diterajui DAP.

Keputusan itu juga boleh dilihat sebagai isyarat bahawa pengundi kurang senang terhadap kerajaan PH yang berusia 10 bulan itu. Pengundi telah menjadi saksi pelbagai keputusan dan tindakan yang dibuat oleh kerajaan PH. Di samping ‘sikap’ menteri-menteri Kabinet, rakyat menagih janji pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Berjanji tetapi tidak ditunaikan. PH ‘memberi’ tetapi pada masa yang sama ‘menarik’ atau mengurangkan apa yang pernah diberi oleh kerajaan terdahulu. Contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang digantikan dengan Bantuan Sara Hidup Rakyat (BaSaH). Rakyat bosan dengan sikap kerajaan yang hanya menuding jari mencari silap kerajaan terdahulu. Rakyat sedang memerhati dan menilai kerajaan kerana sebelum PRU, PH menampakkan diri sebagai orang yang bijak, pintar serta begitu yakin mampu menerajui negara dengan lebih baik.

Kemenangan BN juga mencetuskan semangat baharu untuk UMNO bangkit memulihkan imej parti. Sebaliknya bagi PH terutama Bersatu amat terasa dengan kekalahan calonnya. PH hilang satu kerusi di DUN Selangor. Lebih parah dan memberi tamparan hebat kerana Bersatu dipimpin oleh Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Bersatu yang sedang mengukuhkan kedudukan termasuk menguruskan kemasukan wakil rakyat ‘katak dan sampah’ (seperti dakwaan sesetengah pemimpin parti kerajaan) itu tidak wajar kalah dalam usaha meyakinkan orang Melayu bahawa Bersatu mampu menggantikan UMNO. Bersatu sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahan kerusi itu sehingga tergamak mengkafirkan UMNO serta menyatakan BN tidak wujud lagi.

Bersatu akan melakukan post mortem kekalahan walaupun mengakui kemenangan BN dalam dua PRK Cameron Highlands dan Semenyih adalah disebabkan kerjasama UMNO-Pas. Apakah faktor lain? Adakah Bersatu sebenarnya ketandusan pemimpin apabila ada yang berkata (selepas kalah) pemilihan calon itu juga menjadi faktor kekalahan. Sejauh mana pula sokongan oleh parti komponen PH iaitu DAP, PKR dan Amanah? Adakah mereka serius membantu kempen atau sekadar menunjukkan muka? Menyelak sejarah kebanyakan PRK lalu, jarang seorang Perdana Menteri turun ke bawah. Biasanya timbalan dan menteri-menteri Kabinet. Di Semenyih, beliau turun dan menulis surat rayuan meminta sokongan pengundi.

Seperti ditulis minggu lalu, calon yang ditonjolkan juga melakukan beberapa kesilapan yang akhirnya dijadikan modal kempen. Disebabkan terikut-ikut dengan rentak kempen pemimpin terdahulu, calon PH berjanji tanpa memikirkan kemampuan atau keupayaan untuk melaksanakannya. Ketika rakyat bosan dengan kegagalan menunaikan janji-janji PRU14, beliau sebaliknya berkempen menjanjikan hospital dan menyelesaikan masalah penduduk. Hari ini menang, esok masalah selesai. Malangnya janji itu disanggah oleh Menteri Kesihatan dari Amanah. Sanggahan itu juga menimbulkan pelbagai persepsi kerana seni politik boleh ‘melukis’ apa sahaja berikutan ‘percanggahan’ itu. Jelaslah calon tidak tahu apa-apa. Beliau sepatutnya diberi taklimat mengenai apa yang boleh dilaksanakan.

Mujurlah sehari sebelum hari pengundian dua Menteri muncul menyatakan kesediaan membina hospital di Semenyih. Bukan satu tetapi dua. Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, melunakkan kenyataan sebelum itu dengan berkata kerajaan sedia membina hospital sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ Kementerian Kewangan. Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dari Bersatu pula menyatakan pelabur Bosnia akan membina hospital di Semenyih. Semoga menjadi kenyataan. Untuk rekod, ketika ini pengundi Semenyih boleh mendapatkan perkhidmatan di hospital terdekat sama ada di Serdang, Kajang atau Seremban.

Calon kerajaan boleh berjanji tetapi biar yang boleh dilaksanakan, bukan sekadar untuk menang undi. Rakyat sudah sedar janji yang tidak ditepati walaupun PH memberi pelbagai alasan termasuk menyalahkan kerajaan terdahulu. Sikap tidak menunaikan janji ini lebih memudahkan pembangkang menghentam kerajaan. Jika dulu pembangkang menggelarkan BN membawa maksud barang naik tetapi PH digelar pakatan hancing disebabkan rakyat ‘kena kencing’ merujuk kepada banyak janji yang sekadar dijadikan manifesto. Istilah hancing dan kencing begitu popular hanya kerana janji. PH tidak boleh berterusan berkempen menjanjikan sesuatu yang tidak mampu dilakukan. Lihat sahaja penularan video ucapan pemimpin PH yang begitu yakin menjanjikan ‘bulan dan bintang’. Kini ucapan itu ‘memakan diri’.

Kerajaan perlu berubah dan cuba memulihkan ketidakyakinan setelah janji tidak tertunai. Setiap orang ada pandangan sendiri. Jangan anggap pendapat sendiri sahaja yang betul dan orang lain salah. Raikan pelbagai pandangan. Keresahan pengundi bukan sekadar janji manifesto tetapi juga hal-hal berkaitan Islam dan orang Melayu. Timbul pelbagai kebimbangan terhadap isu-isu yang berkait dengan kaum dan agama. Adakah bercakap mengenai masa depan kaum itu sendiri dianggap sebagai perkauman? Beberapa kenyataan menteri Kabinet turut menjadi bahan gurauan atau kecaman. Semuanya ini disebabkan oleh kisah lampau mereka bercakap ikut ‘sedap mulut’. Selak dan putar kembali apa janji mereka yang kini sudah berada di Putrajaya. Tindak-tanduk mereka yang terbukti melalui video akan terus menghantui pemimpin-pemimpin ini yang kini sudah menganggotai Kabinet.

Biar pun tewas, kerajaan boleh mengorak langkah untuk menjadikan Semenyih sebagai tempat menunaikan janji. PH juga tidak boleh menghukum pengundi-pengundi DUN Semenyih. Kemenangan BN tidak boleh disusuli dengan politik ugutan kononnya projek pembangunan yang dirancang tergendala. Isu sampah, jalan berlubang, lampu jalan rosak dan pelbagai lagi adalah masalah yang menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menyelesaikannya tanpa mengira fahaman politik. Harus diingat bahawa DUN Semenyih masih di bawah penguasaan Ahli Parlimen Hulu Langat dari PH. Ketika PRU lalu, pengundi Semenyih turut membantu kemenangan Hasanuddin Mohd Yunus dari Amanah. Wakil rakyat Amanah perlu memikul amanah yang diberi. Jangan kerana tewas di DUN, pengundi diabaikan.

PH kini boleh beralih ke Negeri Sembilan. PH perlu lebih berhati-hati pada kali ini terutama berkaitan pemilihan calon. Sudah ada tanda-tanda berlaku perebutan. Calon bukan sekadar menenuhi kuota. Cabaran kali ini bukan mudah kerana yang bakal dihadapi adalah mantan Menteri Besar yang juga menjalankan tugas Presiden UMNO. Calonnya biar setanding. Jika ada calon yang lebih baik berbanding calon PKR, maka PH boleh pertimbang. Mungkin Bersatu, Amanah atau DAP mempunyai calon pilihan. Mungkin juga Rais Yatim sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan boleh dipertimbangkan. Jika sekadar mahu mengisi ‘kekosongan’ maka pilihlah siapa sahaja.

BN pula tidak boleh berada dalam keadaan selesa. PH pastinya akan menebus kekalahan dan kekecewaan di Cameron Highlands dan Semenyih. PKR yang mentadbir Negeri Sembilan sudah tentu mahu menambah kerusi. Amat besar maknanya bagi PH jika tokoh seperti Mohamad Hasan atau Tok Mat ditewaskan. Justeru BN perlu lebih bersedia bukan sekadar menghadapi strategi kempen tetapi hal-hal lain di luar gelanggang politik Rantau. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi jika wujud dendam politik. Hubungan UMNO – Pas masih baharu dan dicemburui. Kerenah MCA dan MIC perlu ditangani agar tidak kusut. Musuh tidak akan berdiam diri, sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menangguk di air keruh. Ingatlah, jerat tidak melupakan pelanduk. Tak dapat tanduk, telinga dipulas!

— BebasNews

Please follow and like us:
error

2 COMMENTS

  1. Tulisan Datuk Hassan Mohd Noor berkaitan PRK DUN Semenyeh sangat menarik. Sesuai dengan jawatannya di Utusan Melayu sebelum ini. Saya salut pada datuk. Secara kasar hujahan Datuk Hassan bersendikan kerjasama UMNO/PAS sebagai punca kemenangan calon BN di Semenyih.Sayapun rasa macam tu. Tapi bagi saya ada faktor lain yeng menentukan kekalahan PH, bukan kemenangan BN.

    Rakyat Malaysia hari ini sudah mula muak pada PH. Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan dalam struktur kerajaan yang diterajui PH. Pertama yang menimbulkan kebencian rakyat adalah berkaitan kuasa beli yang semakin lemah. Gaji tak naik tapi harga barang semakin meningkat. Kalau dulu orang ramai caci BN kerana kemampuan mengurangkan beban memalui GST tapi sekarang PH berjaya mengurangkan lagi beban rakyat melalui SST dan bukan SST.( Pengurangan beban yang saya maksudkan di sini adalah jumlah berat barang yang dibawa balik oleh pembeli dengan jumlah wang yang dibawa ke pasar 10 tahun lalu terlalu riangan.)

    Pengundi-pengundi marhaen saperti saya lebih mementingkan perut sendiri daripada kerjasama UMNO/PAS. Itu cuma andaian orang politik.

    Saya tersenyum sumbeng mendengar janji Menteri Kesihatan Dr. Dzulfefli Ahmad membina dua hospital di Semenyih. Sedangkan hospital- hospital yang kurang kelengkapan masih banyak. Hospital yang penuh sesak sampai tak cukup tempat letak katil masih banyak

    Bukan saya menolak keinginan Dr. Dzul tetapi banyak lagi yang menteri itu perlu buat dan lebih bermanfaat daripada membina dua hospital di Semenyih. Maka sah lah janji itu hanya janji pilihanraya. Dalam hal ini saya lebih percaya pada janji Uncle Kentang yang mahu membelanjakan wang gajinya sebagai ADUN (jika menang) kepada orang-orang yang memerlukan di Semenyih. Tapi sayang dia kalah.

    Dr. itu sebelum ini dan sampai sekarang dibenci sebahagtian besar pengundi PH yang merokok. Entah apa jadahnya, dia bina halangan kepada perokok daripada merokok di kedai makan. Org tak merokok memang suka tapi taukeh kedai makan mengeluh. Dah lah harga barang naik, orang yang datang kekedainya semakin kurang kerana kuasa beli semakin lemah dan terus kurang akibat tidak dapat merokok. Alamat nak lingkuplah PH ni.

    SST turut membebankan orang tua yang tak ada gigi. Saya selama ini dapat tersenyum manis akibat harga Polident murah. Tetapi sekarang senyuman saya dah kurang manis dengan peningkatan harga Polident. Gigi palsu saya dah tak dapat ditampal lagi. Saya tak dapapt cakap pasal harga ubat kencing manis dan darah tinggi kerana tidak pernah membelinya.

    Sekian…..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here