Hasil minyak sawit Malaysia berada dalam aliran menurun: pakar

Hasil minyak sawit Malaysia berada dalam aliran menurun: pakar
Gambar atas: Thomas Mielke membentangkan  ramalan untuk minyak, lemak dan minyak sawit bagi 2019 dan seterusnya hari ini / Foto Twitter.

 

KUALA LUMPUR — Hasil minyak sawit Malaysia berada dalam aliran menurun yang membimbangkan dalam tempoh sembilan tahun ini disebabkan terutamanya oleh salah pengurusan yang membawa kepada kekurangan usaha penanaman semula, serta peningkatan kos buruh dan baja, kata seorang pakar.

Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH Thomas Mielke berkata ketika ini, 1.1 juta hingga 1.2 juta hektar, atau kira-kira 20 peratus daripada pokok kelapa sawit di Malaysia telah berusia 20 tahun atau lebih.

“Penanaman semula 90,000 hektar kelapa sawit secara purata bagi setiap tahun di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas juga tidak mencukupi untuk meningkatkan hasil,” katanya pada sesi pleno bersempena dengan Persidangan dan Pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik 2019 ( POC2019) yang berlangsung selama tiga hari, di sini, hari ini.

Mielke berkata Malaysia perlu menanam semula sekurang-kurangnya 250,000 hektar kelapa sawit setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang untuk menjadikan industri minyak sawit lebih menarik.

“Kerajaan boleh menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai pakar bagi memberi nasihat kepada pekebun kecil mengenai isu-isu penanaman semula,” katanya sambil menambah pengecualian cukai juga boleh diberikan kepada pemain industri sebagai cara untuk menyokong mereka.

Mielke berkata niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia dijangka meningkat kepada antara RM2,350 hingga RM2,450 setan metrik dalam tempoh empat hingga enam bulan, tinggi daripada penanda aras nilai bulan dagangan Mei pada RM2,152 setan metrik disebabkan permintaan kukuh dari seluruh dunia.

“Pergantungan global terhadap minyak sawit meningkat pada 2019, terutamanya dengan keperluan import tinggi dari China dan India,” katanya.

Sementara itu, Mielke berkata pengeluaran MSM Malaysia dijangka meningkat sebanyak 600,000 tan metrik kepada kira-kira 20.1 juta tan metrik tahun ini, selepas turun sebanyak 400,000 tan metrik tahun lepas manakala pengeluaran minyak sawit global dijangka mencecah 75.26 juta tan metrik tahun ini daripada 72.48 juta tan metrik tahun lepas.

“Penggunaan MSM dunia dijangka meningkat sebanyak 6.2 hingga 6.5 juta tan metrik tahun ini,” katanya.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.