JKCR mahu kerajaan negeri siasat rumah kucing jadi Pejabat Khidmat DUN

0
16
Gambar atas: Pemilik Jamil Kucing Cat Rescue (JKCR), Jamil Ismail (kiri) dan Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail (dua kiri) pada sidang media selepas menyerahkan memorandum aduan rumah kucing bertukar menjadi Pusat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa di hadapan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR

 

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor diminta mengadakan satu pendengaran awam menyiasat dakwaan sebuah premis yang sepatutnya dijadikan rumah kucing sebaliknya akan dijadikan Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Dalam memorandum yang dihantar kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), Otai Reformis 1998 dan Jamil Kucing Cat Rescue (JKCR) bagi mendapatkan penjelasan.

Aktivis haiwan, Jamil Ismail, berkata, pihaknya menggesa agar pendengaran itu dibuat bagi meminta ketulusan serta penjelasan susulan rumah kucing itu dipercayai akan dijadikan Pejabat Khidmat DUN Bukit Antarabangsa dengan secara tiba-tiba.

Katanya, rumah kucing dibina hasil kerjasama antara KKCR dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Rumah kucing itu sudah siap dibina, namun apabila menunggu waktu penyerahan kami dimaklumkan ia akan dijadikan pusat khidmat rakyat. Kami agak terkejut dan segera meminta penjelasan MPAJ.

“MPAJ kemudian memaklumkan kepada kami yang rumah kucing ini mendapat bantahan awam oleh penduduk di situ. Namun, saya tidak boleh terima kerana ada rumah perlindungan haiwan terbiar yang lain didirikan di situ.

“Sebelum rumah kucing itu dibina pun kita tidak mendapat bantahan daripada penduduk di situ sewaktu tempoh bantahan dibuka,” katanya ketika ditemui di selepas menyerahkan memorandum di depan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, hari ini.

Jamil berkata, justeru, pihaknya menghantar memorandum ini bagi menggesa SELCAT menyiasat dan melakukan pendengaran awam mengenai kes ini.

Sementara itu, Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail, berkata, premis rumah kucing sebelum ini dijadikan Dewan Orang Ramai.

“Namun, dewan itu terbengkalai dan dijadikan sebagai sarang penagih dadah. Oleh itu, JKCR mengambil inisiatif untuk membina tapak kucing bagi menempatkan haiwan terbiar itu selepas mendapat kebenaran MPAJ.

“Kita pelik, bagaimana dewan bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kemudian diambil alih serta dijadikan pejabat DUN. Setahu saya, setiap DUN diberikan elaun untuk menyewa pejabat mereka sendiri.

“Dahulu, kita bantah UMNO ambil alih bangunan orang ramai untuk dijadikan kegunaan politik. Namun, perkara yang sama ini berlaku dalam kerajaan baharu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, aktivitis itu menghantar memorandum kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bagi menggesa Kerajaan Selangor untuk campur tangan dalam kes itu.

Dalam laporan itu, aktivis itu mendakwa tanah seluas 0.8 hektar di Jalan Kerja Ayer Lama, Ampang Jaya yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi kucing akan diambil alih pejabat khidmat DUN tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Berita Harian
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here