Mengapa tiada lagi pantun-pantun baharu Melayu? Adakah nenek-moyang kita lebih hebat?

0
54
Komen DATUK REJAL ARBEE

 

Kata-kata indah ini tidak harus dibiarkan sekadar sebagai suatu peninggalan nenek-moyang.

 

KETIKA sedang melamun saya terfikir mengenai satu pantun.

Pantun itu saya terfikir ketika terbaca kisah tanaman gaharu yang banyak diusahakan di Thailand.  Saya pernah terfikir kenapa bukan kita yang berusaha untuk mendirikan ladang-ladang gaharu padahal pokok gaharu juga berasal daripada kita di semenanjung ini.

Sehinggakan wujud serangkap pantun: Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Harga gaharu kini sedang meningkat begitu mendadak sekali kerana permintaan yang berlipat ganda.

Bagi saya pantun-pantun kita adalah rangkaian kata-kata yang amat indah sekali dan menunjukkan betapa hebat dan luasnya pemandangan, pengetahuan, dan telitinya pemikiran nenek-moyang kita.

Lihat sahaja bagaimana semua pembayangnya sudah pun memberi gambaran mengenai apa yang tersirat dan hendak diperkatakan.

Misalnya: Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Bukankah ungkapan itu amat indah sekali?

Saya amat berharap pantun-pantun kita bukan sahaja dapat diterapkan untuk kegunaan ramai secara meluas, tetapi ditambah dengan kewujudan pantun-pantun baharu.

Kata-kata indah ini tidak harus dibiarkan sebagai suatu peninggalan nenek-moyang kita sahaja tetapi adalah ungkapan-ungkapan yang perlu berterusan dan diperkaya dengan ahli-ahli bahasa kita mengeluarkan pantun-pantun baru.

Ini perlu bagi menunjukkan betapa luas penggunaannya dahulu kala dan betapa indahnya kata-kata yang diungkapkan.

Ia juga menunjukkan betapa cermat dan bijaknya nenek-moyang kita melihat bukan sahaja keindahan ciptaan Allah di bumi ini, tetapi juga apa yang kita boleh mendapat daripada ciptaanNya itu.

Amat diharapkan ahli dan pakar-pakar bahasa kita, termasuk mereka yang berada di universiti  kita boleh mendalami pantun-pantun kita.

Mereka seharusnya menjalankan kajian dan penyelidikan menyeluruh, bukan sahaja untuk mempopularkan kembali penggunaannya, malah untuk memperkayakannya lagi demi mengekalkan kedudukannya sebagai suatu wadah terbaik peninggalan nenek moyang kita.

Pantun gaharu ini membuat saya terfikir mengenai suatu ungkapan kata-kata yang amat indah dan kaya.

Apakah orang dahulu lebih hebat dalam ilmu gurindam, seloka dan pantun, berbanding pakar-pakar bahasa pada zaman siber ini? Ataupun mereka sudah lesu?

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here