Peminta sedekah: betulkah kita membantu?

Peminta sedekah: betulkah kita membantu?
Oleh SARIMAH ISMAIL

 

“Eksploitasi kanak-kanak dan remaja atas nama Pusat Tahfiz dan rumah anak yatim. Orang buta dan tisu satu profesion baharu dalam kalangan mereka” 

SAYA dan beberapa kawan bersarapan di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam apabila didatangi seorang lelaki buta dipimpin oleh seorang wanita muda usia sekitar 30an.

Wanita itu menghulurkan tisu, seorang kawan menghulurkan RM2, tapi tisu tidak diambilnya. Pasangan itu beralih ke meja yang lain, mengulangi perkara yang sama. Bila meja pelanggan habis dipusing, pasangan itu keluar menuju restoran ke lain pula. Membuat ulangan yang sama.

Selang 20 minit datang pula pasangan lain. Menghulur tisu macam pasangan tadi. Kali ini rakan saya yang lain pula menghulurkan duit. Saya membuat congakkan, purata 15 meja dikali dengan RM2 = RM30 satu restoran. Kalau lima restoran dalam masa tiga jam, RM150.

Sebulan sekitar RM4,500.

Pada hari yang lain datang pula seorang budak remaja berusia lingkungan 14-16 tahun. Ayat pertama, “kakak saya jual barangan… kalau tak nak beli bolehlah derma beberapa saja.”

Tengok muka budak ni, kesian pula sebab kebanyakan budak-budak ini dari rumah anak-anak yatim. Dulu antara kawasan yang popular bagi mereka untuk berkunjung, termasuk di stesen-stesen minyak. Sekarang mereka beralih ke restoran pula.

Bayangkan bila sedang makan, ada budak datang, rasa macam tak sampai hati pula. Sebab itu ramai yang menghulur. Lama-kelamaan disebabkan tagihan sedekah mudah mencetuskan rasa simpati dan bersalah dalam diri, kegiatan ini semakin berkembang.

Saya pernah membuat laporan polis atas eksploitasi terhadap kanak-kanak ini. Sampai polis bertanya saya, apa tujuan repot saya?

Berjela saya tulis, antaranya: Mereka terdedah kepada bahaya sebab pukul 9-10 malam masih berada di stesen-stesen minyak, terutamanya kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak ini dinafikan hak rehat mereka, hak belajar dan lain-lain.

Tujuan saya cuma satu, supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut.

Anak-anak yatim ini ditempatkan di rumah-rumah kebajikan supaya masa depan mereka lebih terjamin, mendapat perlindungan, tetapi sebaliknya digunakan untuk meraih keuntungan bagi pihak-pihak tertentu pula.

Saya tak tahulah sama ada laporan saya di balai polis Shah Alam itu diberi perhatian atau tidak.

Sampai sekarang masih terdapat kanak-kanak dan remaja yang menjalankan kegiatan ini dengan menjajakan ayat skema mereka kononnya untuk membantu tahfiz atau rumah anak-anak yatim. Tiada kesudahan dalam kegiatan ini atas nama Pusat Tahfiz atau rumah anak-anak yatim.

Dalam Islam, kita disarankan membantu, menghulur derma kepada yang kurang mampu. Tetapi. dalam aspek ini, adakah kita benar-benar membantu?

Daripada penelitian, bila kita memberi dengan cara ini, semakin banyak pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kanak-kanak untuk pelbagai kutipan atas nama rumah anak yatim atau pusat tahfiz.

Betulkah kutipan ini benar-benar disalurkan ke tempat-tempat tersebut? Tidak berapa lama dulu terdapat kontroversi sebuah pusat tahfiz membuat aktiviti jualan oleh para pelajarnya.

Kebijaksanaan tuan punya tahfiz ini sehingga membolehkan beliau mempunyai syarikat holding, memiliki kereta sport mewah, rumah mewah, bercuti ke luar negara dan sebagainya. Pekerja-pekerja terdiri daripada pelajar-pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang kononnya di bawah jagaan tahfiznya. (layari wartakopi.blogspot.com; pahangdaily.blogspot.com)

Itu satu hal yang menyebabkan tiada garis penamat dalam hal ini.

Faktor lain yang saya perhatikan ialah tiada penguatkuasaan yang bersepadu daripada pihak berkuasa.

  • Adakah jabatan kebajikan memantau keadaan rumah-rumah kebajikan di Malaysia?
  • Adakah jabatan agama dan Kementerian Pendidikan memantau pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah tahfiz?
  • Adakah polis yang melakukan rondaan prihatin bila melihat kanak-kanak berada di kawasan-kawasan yang tidak sesuai pada waktu malam?
  • Pihak berkuasa tempatan tidak sedar apa yang berlaku di kawasan masing-masing?

Semua ini mengundang banyak pertanyaan dan setiap agensi melepaskan tanggungjawab dengan menolak isu berkenaan kepada agensi lain, dan akhirnya siapa pun tidak mengambil tanggungjawab.

Tujuan anak-anak yatim dihantar ke rumah-rumah anak yatim ialah supaya mendapat kehidupan yang lebih baik.

Apabila dihantar ke sana, penjaga, ibu atau bapa mengharapkan agar kehidupan anak-anak lebih terjamin kerana mereka sendiri tidak berkemampuan.

Namun, kesempatan ini pula diambil oleh pusat-pusat perlindungan ke atas kanak-kanak dan remaja-remaja di situ.

Pegawai-pegawai yang bertanggungjawab ke atas rumah kebajikan dan pusat tahfiz perlu mengkaji kembali peranan dan tanggungjawab agensi masing-masing.

Pemeriksaan, pendaftaran dan penguatkuasaan perlu diperkasa supaya dapat dibendung gejala-gejala eksploitasi sebegini.

Peranan mereka bukan terhad dalam pejabat sahaja. Keperluan tinjauan secara berkala membolehkan kepincangan ini dapat di atasi dari semasa ke semasa.

Rakyat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam memang pemurah. Tengoklah di mana sahaja orang buta membawa tisu, merekalah yang banyak memberi. Kanak-kanak bawa barangan dengan cerita dari rumah anak yatim, orang Melayulah yang menghulur, orang Afghanistan, Myanmar yang membawa macam-macam surat fotokopi sampai dah luntur, orang Melayu dan Islamlah yang banyak menghulur.

Menderma dan membantu adalah ajaran Islam yang sangat-sangat dituntut. Ada orang berkata, tak payah fikir, bagi saja, pahala daripada Allah. Dia tipu atau apa, itu dia dengan Allah.

Ya betul, saya setuju dan saya juga mahukan ganjaran dan pahala Allah atas sedekah yang saya bagi itu.

Persoalannya sekarang, adakah sedekah dan bantuan yang kita hulurkan sebenarnya dimanfaatkan untuk individu tersebut?

Apa yang jelas sekarang, kalau dahulu, orang meminta sedekah dengan duduk di tepi-tepi jalan, tetapi profesion ini sekarang menjadi lebih profesional — beli tisu, pusing dalam kedai-kedai makan, tunggu orang hulur duit.

Pergilah ke mana-mana kawasan, Kampung Baru, Shah Alam atau di mana-mana saja, profesion ini semakin berkembang. Siang malam mereka bertugas.

Kerjaya kanak-kanak dan remaja mengutip derma pun semakin berkembang. Dahulu hanya membawa kertas menyatakan mereka dari rumah anak yatim, kini mereka membawa sedikit barangan untuk dijual yang mana kita dan mereka tahu, orang yang memberi sedekah tidak akan mengambilnya.

Lagi menarik, pada satu ketika kawan saya didatangi oleh orang Afghanistan.

Mulanya mohon derma, tapi kawan saya dan saya sendiri memerhatikan dia muda lagi, pakaian elok, takkan tak boleh kerja?

Beberapa hari kemudian, saya dengan kawan lain berada di kedai makan yang sama. Dia tidak perasan saya orang yang sama dia pernah jumpa dahulu. Kali ni dia bawa poster A4 tertulis ayat Quran. Nak jual kepada kami. Saya tidak mahu beli. Kawan saya tanya dari mana poster ni. Dia jawab, dari Afghanistan. Asal harga RM50, tawar menawar jadi RM30.

Nak dijadikan cerita, beberapa hari kemudian saya ke Pasaraya Mydin. Rupa-rupanya poster itu dijual dengan harga RM3 sahaja.

Apakah kerana sikap kita orang Melayu dan Islam menyebabkan orang asing gemar menjadikan meminta sedekah sebagai satu profesion di Malaysia?

Berdasarkan situasi ini, kita perlu mengkaji adakah sikap memberi sebegini meningkatkan keprihatinan dan peradaban kehidupan masyarakat Islam?

Adakah bantuan sebegini dituntut dalam Islam?

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.