Jangan dok cari pasai dengan Che Ta

Jangan dok cari pasai dengan Che Ta

Kebiasaannya saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Itu standard biasa.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 
PELAKON Rozita Che Wan atau Che Ta telah membayar gaji pemandu peribadinya, Muhammad Riduan sebanyak RM2,000 hari ini (7 Mac).

Semalam (6 Mac), pemuda berusia 21 tahun itu memuat naik status dalam laman sosial mendakwa majikannya (Che Ta) tidak membayar gajinya seperti yang dijanjikan. Malah difahamkan teman rapatnya juga bertindak agresif dengan melancarkan ‘perang’ menulis komen meminta gaji itu dibayar.

Tak kurang juga yang menyebarkan kata-kata negatif berbaur hasutan kononnya isteri kepada Zain Saidin ini menganiaya lelaki berkenaan.

Ekoran daripada penyebaran berita itu, Che Ta mengambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammad Riduan.

“Gaji dia sudah dibayar penuh seperti biasa berjumlah RM2,000 hari ini. Tapi dengan apa yang dia sudah lakukan kepada saya dengan mengadakan cerita tak benar, sekali gus jatuh fitnah dan memalukan, kami akan ambil tindakan tegas.

“Kami sudah berhubung dengan peguam untuk tindakan mahkamah. Malah kami juga nak buat saman malu dan memohon dia melakukan permohonan maaf secara terbuka,” kata Che Ta.

Tambah pemegang watak Kak Bed dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan, gaji bulan Januari pemuda itu dibayar seperti biasa dan Februari terlewat kerana dia sibuk dengan urusan luar.

“Gaji bulan pertama dibayar seperti biasa, Februari saya terlambat bayar sebab tak masuk pejabat untuk menguruskan hal kerja termasuk pembayaran gaji.

“Kebiasaannya saya akan bayar gaji setiap hujung bulan atau selewat-lewatnya sebelum masuk tarikh ketujuh bulan seterusnya. Itu standard biasa.

“Semalam (6 Mac) saya baru masuk pejabat. Selesai mesyuarat, saya sudah bersedia nak isukan cek kepada pembantu peribadi… tiba-tiba dia buat hal tularkan perkara ini. Saya asalnya nak bayar dan dia juga sudah bersetuju dengan jumlah gaji yang akan dibayar,” katanya lagi.

Menurut Che Ta, Februari lalu, lelaki tersebut bercuti selama 12 hari.

“Dia hanya bekerja 16 hari saja, tapi saya masih bayar gaji penuh kepadanya iaitu sebanyak RM2,000. Zain cakap dengan jumlah kerjanya yang kurang, dia patut dibayar RM1,000 saja. Namun selepas ditimbangkan, saya bayar RM1,500 kepadanya.

“Dia cakap tak mahu kerja dengan saya lagi dan tarikh akhir bekerja pada 23 Februari. Mungkin sedar kerjanya tak bagus dan rasa tak terjamin, maka mulalah nak tularkan benda yang sebaliknya. Buat cerita itu dan ini demi menutup kesalahan diri,” katanya.

Tegas Che Ta, lelaki itu juga menunjukkan prestasi kerja yang hambar.

“Kalau dia muat naik status di Facebook, cakap kena kerja dari pukul 7 pagi hingga 12 malam sampai letih. Kenapa tak tulis pula sepanjang waktu itu, masa banyak dihabiskan dengan membuta (tidur). Bila saya cakap jangan tidur di sofa di pejabat, dia sambung pula di surau. Sebelah malam pula sanggup ambil kerja lebih masa dengan menjadi pemandu Grab sampai lewat pagi.

“Soal nak buat kerja lain itu saya tak pernah larang, tapi sampai etika kerja jadi ‘ke laut’, tak datang tepat waktunya, apa saya patut beri muka dengan orang macam ini. Banyak kesalahan dan masalah yang ditimbulkan, tapi saya cuba pejam mata,” ujarnya.

Menurut Che Ta, dari awal Muhammad Riduan setuju untuk bekerja dalam tempoh waktu yang panjang.

Namun katanya, sepanjang tempoh itu bukan dia kena bekerja pun. Dalam seminggu ada kalanya dia hanya perlu datang untuk tiga atau empat hari saja. Jika Che Ta bercuti, dia tidak perlu bertugas dan ada ketikanya Zain yang menjadi pemandu.

Selama ini, Che Ta mengakui tidak pernah berdepan masalah dengan pemandu peribadinya.

“Dulu pernah ada pemandu peribadi yang bekerja sampai 10 tahun dengan saya. Begitu juga pemandu seterusnya. Kedua-dua mereka menunjukkan sikap yang baik dan rajin. Tapi yang kali ini, sebaliknya.

“Ingat lagi masa temu duga, siap cakap kalau khidmatnya tak bagus… tak bayar gaji pun tak apa. Sebenarnya banyak kesalahan dan sikapnya yang melanggar etika.

“Tidaklah sampai saya terfikir nak merakamkan atau mengambil gambar sebagai bukti. Kalau ada semua bukti sebegitu, saya rasa baru dia tahu langit ini tinggi atau rendah. Tak terdetik langsung nak buka aib dia,” katanya.

Che Ta secara peribadi menyifatkan lelaki itu seorang yang baik, namun masih terlalu muda dan belum cukup matang.

“Ketika sebut kesalahannya waktu bekerja, dia sendiri mengakuinya. Dia sedar yang dia tak patut buat kerja lain jika ia mengganggu prestasi kerja. Dia pernah terlelap waktu tidur ketika kami dalam perjalanan ke Johor. Saya minta dia berhenti memandu dan membasuh mukanya. Dia harus fikir dengan sikapnya itu, nyawa orang lain boleh tergadai.

“Saya dan Zain pun rasa yang dia sebenarnya dihasut oleh rakan dan orang sekeliling untuk memuat naik status berunsur provokasi. Dengan cara budi bahasa dimilikinya, dia takkan tulis sebegitu,” katanya.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.