[VIDEO] Saharul Ridzwan ada gaya tersendiri – Ajai

[VIDEO] Saharul Ridzwan ada gaya tersendiri – Ajai
(GAMBAR ATAS) AJAI (kiri) dan Saharul Ridzwan berkolaborasi dalam lagu Buku Putih.

Saya nampak Saharul rap ikut gaya artis 80-an seperti Snoop Dog, P Diddy, Ice Cube atau N.W.A. Dia tidak terikut gaya rap sekarang yang laju (triplet)

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 
KOMPOSER Ajai tahu Saharul Ridzwan tidak ada bakat menyanyi tetapi dia tetap berminat untuk bekerjasama dengan pelakon itu.

Pada pandangannya, Saharul adalah seorang yang kreatif dengan gaya tersendiri terutama dalam penghasilan lirik lagu.

Jelas Ajai, pada mulanya dia juga menyangka Saharul seperti pelakon lain yang mahu menjadi penyanyi bagi mengembangkan bakat seni.

Bagaimanapun persepsinya berubah selepas bertemu dengan hero drama Selafaz Cinta itu.

“Saya kenal Saharul daripada kawan-kawan dia. Mereka cakap Saharul mempunyai lirik yang bagus tapi banyak berkisar tentang dirinya sendiri dan dia suka hip hop. Dalam kepala saya sudah sedia maklum yang pelakon sekarang suka nak jadi penyanyi.

“Bila jumpa kali pertama, dia tunjuk coretan yang dihasilkan dan bagi tahu itu semua kisahnya. Saharul kata kalau nak bagi orang lain menyanyi pun dia tidak kisah kerana dia tidak boleh menyanyi.

“Dari situ saya nampak dia bukan nak mencari populariti dan tak sasar untuk jadi penyanyi tapi saya nampak dia ada bakat dalam penulisan,” cerita Ajai tentang pertemuannya dengan Mohd. Saharul Ridzwan Hashim.

Sebagai komposer yang sering bekerjasama dengan pelbagai penyanyi baharu atau lama, Ajai sudah tahu siapa boleh menyanyi atau tidak.

Terus terang Ajai beritahu Saharul bukan penyanyi tapi lebih sesuai sebagai rapper.

“Pada saya dia memang tak boleh menyanyi tetapi dia boleh rap kerana rapper bukan penyanyi tetapi lebih kepada berkata-kata.

“Ada sikitlah melodi untuk rapper tapi melodi itu tidak menunjukkan dia sebagai penyanyi yang bagus. Kalau kita tengok dan dengar rapper antarabangsa pun ada masalah tempo tapi kekuatan mereka terletak kepada penulisan (lirik),” jelasnya.

Tambah Ajai, dia nampak ada kekuatan pada penulisan Saharul berbanding vokal. Namun dia turut menguji tone suara Saharul sebelum membuat keputusan memberi peluang kepada pelakon itu untuk rap.

“Apabila saya uji tone suara dia, saya cakap buat apa nak bagi pada orang lain, kau pun boleh rap. Pada saya setiap rapper perlu ada trademark masing-masing iaitu cara mereka rap. Kita tahu Altimet, Malique dan Joe Flizow rap macam mana.

“Saya nampak Saharul rap ikut gaya artis 80-an seperti Snoop Dog, P Diddy, Ice Cube atau N.W.A. Dia tidak terikut gaya rap sekarang yang laju (triplet) sebaliknya rap Saharul dibuat satu persatu dan selesa pada pendengaran saya.

“Bagi saya kalau rap cara laju menggunakan bahasa Inggeris memang sesuai tapi untuk bahasa Melayu agak ganjil sikit,” hurai Ajai.

Tambahnya, apa yang ditonjolkan dalam lagu Buku Putih adalah seni yang Saharul minat dan menjadi tugasnya sebagai komposer untuk menampakkan pelakon itu bagus.

“Ini adalah seni yang dia minat dan bukan yang dia bagus seperti lakonan drama. Tugas saya adalah menjadikan dia nampak bagus dengan apa yang dia minat,” katanya yang bercadang menghasilkan empat lagu lagi untuk Saharul.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.