Universiti mesti iktiraf persatuan, kesatuan dalaman akademik — Dr. Maszlee

Universiti mesti iktiraf persatuan, kesatuan dalaman akademik — Dr. Maszlee
(GAMBAR ATAS) DR. MASZLEE MALIK (empat dari kiri) di majlis program Bicara Menteri anjuran Persatuan Staf Akademik Universiti Malaysia Sabah (PSAUMS) dengan kerjasama Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) di Tawau, Sabah pada 7 Mac 2019.

Dr. Maszlee mengumumkan 5 Oktober setiap tahun akan dijadikan Hari Akademia Negara bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga akademik universiti di negara ini.

Oleh SARIMAH ISMAIL

 
MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyatakan perlunya pertemuan lebih kerap antara pihaknya dan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) bagi memantapkan tadbir urus pendidikan tinggi negara.

Menurut beliau, langkah ini akan membolehkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan keterbukaan dalam memacu pendidikan negara ke arah yang lebih berkesan.

Beliau percaya bahawa kerjasama rapat itu akan membolehkan misi dan visi KPM direalisasikan dan seterusnya mengembalikan kewibawaan institusi pengajian tinggi awam negara.

Dr. Maszlee menegaskan demikian semasa program Bicara Menteri anjuran Persatuan Staf Akademik Universiti Malaysia Sabah (PSAUMS) dengan kerjasama MAAC di Hotel Marco Polo, Tawau, Sabah semalam (7 Mac).

SESI soal-jawab bersama Dr. Maszlee Malik di majlis program Bicara Menteri anjuran Persatuan Staf Akademik Universiti Malaysia Sabah (PSAUMS) dengan kerjasama Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) di Tawau, Sabah 7 Mac 2019.

Program ini dihadiri wakil-wakil persatuan dan kesatuan universiti awam seluruh Malaysia yang bergabung di bawah MAAC dan wakil-wakil jabatan pendidikan Negeri Sabah.

Dr. Maszlee juga turut meminta pengurusan universiti mengiktiraf dan memberi kerjasama kepada persatuan dalaman universiti bagi membawa kecemerlangan pendidikan negara.

Beliau turut menegaskan perlunya pengurusan universiti mendapatkan input sumbang saran daripada semua pihak dalam membuat keputusan.

“Perlunya engagement dalam tadbir urus universiti dengan semua warga utama universiti. Persatuan-persatuan akademik universiti dan wakil-wakil pelajar juga perlu ada dalam senat bagi membolehkan keputusan yang lebih telus dan saksama dapat dibuat,” katanya.

Dalam program ini juga, Dr. Maszlee mengumumkan 5 Oktober setiap tahun akan dijadikan Hari Akademia Negara bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga akademik universiti di negara ini.

DR MASZLEE MALIK (kanan) dan di sebelahnya, Presiden MAAC, Prof. Datuk Dr. Idrus Masirin dalam pertemuan tertutup bersama-sama wakil persatuan dan kesatuan dalaman akademik universiti awam di Tawau, Sabah 7 Mac 2019.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil-wakil persatuan dan kesatuan universiti awam Malaysia, selepas majlis bual bicara tersebut.

Dalam pertemuan dan perbincangan selama lebih sejam itu, Dr. Maszlee telah mendapat pandangan daripada pihak persatuan dan kesatuan berkaitan perkara-perkara penting dalam tadbir urus setiap universiti yang terlibat.

Pertemuan dan perbincangan ini dilihat sebagai keterbukaan beliau bagi mendengar secara langsung isu-isu penting kakitangan akademik yang dibawa oleh setiap universiti terlibat.

Sementara itu, Presiden MAAC, Prof. Datuk Dr. Idrus Masirin berharap semua pengurusan tertinggi universiti awam mengambil inisiatif bagi merealisasikan saranan menteri itu dalam membina perhubungan dalaman universiti yang lebih terbuka dan telus.

Antara kesatuan akademik universiti yang hadir dalam pertemuan tertutup itu adalah dari UiTM, UKM, UTM, UTHM, UTeM, UniSZA, UUM, UMS, UPSI, UMP dan UMT.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

One Response to "Universiti mesti iktiraf persatuan, kesatuan dalaman akademik — Dr. Maszlee"

  1. Pingback: Post Terkini | Persatuan Kebajikan Staf Akademik UMT (PASAK)

Leave a Reply

Your email address will not be published.