MSN perlu realistik berbanding impian sahaja

MSN perlu realistik berbanding impian sahaja

PROGRAM PODIUM yang diperkenalkan menerusi Institut Sukan Negara (ISN) pada tahun 2016 merupakan projek ke arah sasaran emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Bermula dengan 97 atlet ia kemudian dikembangkan kepada puluhan jenis sukan tetapi setakat pencapaian dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2017, ia belum boleh menjanjikan hasil terbaik di Tokyo.

Selepas bertukar kerajaan serta menteri dan rombakan di ISN, program ini dihentikan terus pada Oktober tahun lalu. Program Podium gagal; kalaulah dinilai pada temasya di Gold Coast dan Jakarta-Palembang.

Penstrukturan semula program latihan berpindah ke Majlis Sukan Negara (MSN) pada Disember 2018 dan sehingga hari ini program baharu belum dinamakan secara rasmi. Apa yang diberitahu ia hanya dikenali sebagai program latihan attlet mengikut sistem tiering.

MSN terpaksa jadi pak sanggup bagi meneruskan kerja tertangguh di ISN hasil prestasi atlet yang tidak menentu itu.

Bahagian persediaan antarabangsa bermandi peluh mengupas pelbagai pandangan bagi menyempurnakan tugasan ke Tokyo yang semakin hampir.

MSN terpaksa memperkenalkan tiga sasaran dalam sistem terbaharu ini. Pertama ialah penumpuan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kedua matlamat 2022 ke pesta Sukan Asia dan Komanwel dan ketiga bagi menghadapi Sukan SEA 2019 dan 2021.

Keutamaannya dalam penstrukturan semula program latihan iaitu penumpuan kepada temasya, sasaran lebih jelas, fleksibiliti dalam pelaksanaan program dan pengurusan kewangan secara adil dan efisien.

Secara dasarnya program merangkul pingat emas pada Tokyo 2020 pudar. sama sekali. Bagi MSN, di Tokyo kelak bakal menjadi medan menambah baik pencapaian sahaja.

Seorang pengarah di MSN yang turut terbabit dalam pelaksanaan program ini merasai terlalu sukar untuk menggapai emas di Tokyo berpandukan kepada kegagalan Program Podium di ISN.

Bagi MSN, segala-gala bermula dengan sistem yang baharu diperkenalkan untuk lebih fokus kepada apa disasarkan. Ia juga perlu lebih realistik berbanding impian semata-mata.

Kini angka atlet dalam program seramai 503 orang dan kita tunggu sahaja apa yang bakal dihadiahkan mereka dalam temasya akan datang.

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.