‘Imam’ baharu: Nora berserah kepada takdir

‘Imam’ baharu: Nora berserah kepada takdir
(GAMBAR) DARI kiri, Aishah, Alif Nasir dan Nora selepas majlis sidang akhbar Spectacular Secretaries Week Luncheon di Hotel Palace Of The Golden Horses Mines, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Bagi saya kalau sampai masa, insya-Allah saya terima tapi kalau bukan waktunya, datanglah siapa saja mungkin tak akan berlaku. Itu semua kuasa Allah, saya berserah kepada-Nya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 
UNTUK menjalani kehidupan baharu bukanlah mudah jika kita sudah terbiasa dengan rutin sedia ada. Namun sebagai manusia kita perlu akur dengan aturan Allah dan reda dengan takdir yang ditentukan.

Bagi penyanyi Nora Ariffin, 46, pemergian suami Johan Nawawi ke alam barzakh pada 24 Mac 2017 merupakan satu titik tolak baharu dalam kehidupannya.

Menurut Nora, jika dahulu dia bergantung sepenuhnya kepada suami tapi kini semua urusan terpaksa dilakukan sendiri.

“Apa yang berlaku pada kita telah ditentukan sejak dulu. Jangan terlalu persoal sangat kenapa jadi begini atau begitu. Kalau nak bersedih tak apa kerana kita adalah insan yang lemah.

“Macam saya sendiri, tak pernah fikir boleh begini kerana dulu semua abang (Johan) yang buat. Sekarang semua benda saya kena buat sendiri dari urusan bil sampai ke urusan kereta dan perniagaannya. Dulu saya tak pernah ambil tahu sebab dia yang akan uruskan tapi siapa sangka sekarang saya yang mengambil alih tugasnya,” kongsi Nora tentang rutin kehidupannya sekarang.

Jelasnya, dia berasa lega kerana dapat menguruskan majlis pernikahan anak sulungnya, Mohd. Syakir Iman Johan pada 19 Januari lalu dengan lancar.

“Selepas pemergian arwah, saya baru rapat dengan anak-anak sebab dulu asyik bersama suami saja. Bohonglah kalau kata saya tak rasa sedih masa majlis pernikahan Iman hari tu.

“Dulu saya dan abang selalu bercerita nanti kalau anak kahwin, kita buat begini dan sebagainya. Memang terasa sayu tapi semua itu saya tolak tepi dan yang penting urusan majlis pernikahan Iman berjalan lancar,” katanya tersenyum puas.

Jelas Nora, dia tak ada masa untuk bersedih lagi kerana sibuk dengan pelbagai urusan termasuk mengurus perniagaan yang dibina oleh Johan sebelum ini.

Selain itu, Nora juga sering menjadi pendengar setia pada wanita-wanita yang senasib dengannya.

Katanya, hanya mereka yang pernah melalui pengalaman yang sama (kematian suami) yang memahami situasi orang berkenaan.

“Saya tak menolak jika ada kawan-kawan telefon pukul 2 pagi untuk bercerita tentang kesedihan mereka. Saya faham isi hati mereka. Memanglah orang akan kata, ala macam dia seorang saja yang mati laki. Mereka boleh kata apa saja kerana situasi itu berbeza bagi yang melaluinya.

“Macam saya sendiri mengambil masa yang lama juga untuk menjadi seperti sekarang sebab itulah saya faham situasi wanita lain yang kematian suami,” katanya.

Nora yang belum bersedia untuk menerima pengganti Johan berkata, dia lebih senang berkawan dengan sesiapa saja dalam waktu terdekat ini.

Namun, dia tidak menolak jika Allah membuka pintu hatinya untuk menerima orang baharu sebagai imamnya.

“Saya pernah berkata pada uztazah yang saya tak akan cari pengganti Johan, tapi usatzah kata itu semua bukan urusan kita. Allah ambil satu dan digantikan dengan yang lebih baik, kita tak tahu.

“Bagi saya kalau sampai masa, insya-Allah saya terima tapi kalau bukan waktunya, datanglah siapa saja mungkin tak akan berlaku. Itu semua kuasa Allah, saya berserah kepada-Nya,” katanya menjawab soalan media tentang jodoh.

Sementara itu, Nora berkata, dia begitu teruja diberi peluang menjayakan acara Spectacular Secretaries Week Luncheon 2019 Live Performance bersama Aishah pada 25 April nanti.

Persembahan minggu setiausaha anjuran Mareepoosa Creative & Event itu akan diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses Mines, pada pukul 12.30 tengah hari itu turut dijayakan oleh pemain saksafon Alif Nasir.

Kata Nora, kali terakhir dia menjayakan persembahan minggu setiausaha adalah kira-kira lima tahun lalu.

“Saya begitu teruja dapat buat persembahan satu pentas dengan kak Aishah yang kita semua tahu kebolehannya yang macam mana.

“Kami belum berbincang lagi mengenai lagu yang bakal dinyanyikan bersama dan begitu juga dengan pilihan lagu solo. Saya nak nyanyi lagu-lagu yang disukai penonton, bukan pilih lagu ikut cita rasa saya. Kalau perlu nyanyi lagu-lagu hit masa kini, saya tak kisah kerana tugas saya adalah untuk mengibur para setiausaha,” katanya.

Untuk persembahan itu kelak, sebanyak 50 buah meja disediakan dengan harga RM6,000 (Sapphire), RM5,000 (Ruby), RM4,000 (Emerald) dan RM3,000 (Amethyst).

Bagi pembeli tiket individu harga yang ditawarkan adalah RM600, RM500, RM400 dan RM300.

Sebanyak 10 peratus hasil jualan meja akan disalurkan kepada tabung National Diabetes Institute (NADI) bagi membantu kos perubatan kanak-kanak yang menghidap diabetes.

Selain Nora, Aishah dan Alif Nasir acara itu turut diserikan dengan nyanyian Uchop Ahmad, juara pertandingan program Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Irwan Ahmad, peserta Mentor Otai sebagai pembuka tirai.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.