Bank Pembangunan tubuh dana, didik masyarakat jaga alam sekitar

Bank Pembangunan tubuh dana, didik masyarakat jaga alam sekitar

KUALA LUMPUR — Bank Pembangunan Malaysia Bhd akan menubuhkan Dana Pendidikan Kemapanan Industri untuk mendidik masyarakat mengenai jenayah alam sekitar susulan daripada tragedi pencemaran sungai di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dana tersebut akan menyokong usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat agar bukan sahaja menjaga alam sekitar, malah tampil melaporkan sebarang jenayah yang berkaitan.

“Bank Pembangunan akan berperanan sebagai penggerak utama, penjaga dan pengurus bagi dana ini. Namun, semua pihak sama ada individu atau syarikat digalakkan menyumbang kepada dana tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Pembiayaan Pembangunan Mapan Bank Pembangunan Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Pengerusi Bank Pembangunan Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata Dana Pendidikan Kemapanan Industri itu akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan peruntukan permulaan RM10 juta daripada bank itu.

Beliau berkata jumlah dana tersebut dijangka meningkat apabila lebih banyak organisasi tampil menghulurkan sumbangan.

Pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang itu mengakibatkan lebih 250 orang terpaksa diberi rawatan dan 13 sekolah terpaksa ditutup.

— BERNAMA
Please follow and like us:

Post Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.