Mangsa toksik naik kepada 506 orang, semua 34 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup

Mangsa toksik naik kepada 506 orang, semua 34 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup
Gambar atas: Seorang pelajar dibawa menaiki ambulans untuk ke hospital selepas mendapatkan rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang hari ini. Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke dewan itu untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia. –fotoBERNAMA

 

 

JOHOR BAHRU – Angka terbaharu yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, mencatatkan peningkatan seramai 506 mangsa ekoran pembuangan sisa kimia di Pasir Gudang.

Beliau juga mengumumkan bahawa kesemua 34 buah sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup serta-merta hari ini berikutan keadaan yang dilihat semakin kritikal susulan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim sejak Khamis lalu.

Dr Maszlee Malik berkata, 34 sekolah itu termasuk 13 sekolah yang ditutup semalam.

“Malangnya hari ini saya dimaklumkan keadaan semakin kritikal (jadi) untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak murid dan warga sekolah, saya arah semua 34 sekolah ditutup, guru juga tidak perlu bertugas kerana keadaan masih berbahaya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata semalam kementeriannya mengarahkan 13 sekolah ditutup selepas beliau melawat pelajar yang menjadi mangsa isu pencemaran kimia itu di Hospital Sultan Ismail dan Dewan Taman Pasir Putih.

“Di sana saya menyaksikan lebih dari 50 pelajar dihantar oleh ambulans tanpa henti dari sekolah berdekatan kerana sesak nafas dan mengalami simptom yang sama dengan mangsa sebelum ini,” katanya.

Maszlee berkata pihaknya memandang serius isu itu memandangkan ia melibatkan risiko nyawa murid, guru dan pekerja sekolah.

“Kami juga menggesa agar penjenayah yang melakukan kesalahan besar ini dibawa kemuka pengadilan dengan segera,” katanya.

Beliau turut menegaskan pihaknya bekerjasama erat  dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sejak dari awal isu itu berlaku (7 Mac) bagi memastikan keselamatan murid, guru dan pekerja sekolah diutamakan.

“Saya juga difahamkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan Menteri Besar Johor sedang bersidang  bersama-sama dengan agensi berkaitan,” katanya.

— BERNAMA
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.