Pindah aset untungkan Tabung Haji

Pindah aset untungkan Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Dakwaan Lembaga Tabung Haji (TH) kerugian besar apabila memindahkan asetnya kepada syarikat tujuan khas (SPV) jelas tidak berasas apabila nilai harga perpindahan adalah lebih tinggi dan ternyata menguntungkan.

Secara keseluruhan, aset-aset yang dipindahkan terdiri daripada 29 harta tanah, sebuah  syarikat perladangan bukan penyenaraian awam; dan  106 sekuriti ekuiti domestik.

Semua aset yang kini nilainya merosot pada kadar semasa atau nilai buku aset sekitar RM10 bilion telah dipindahkan kepada SPV pada nilai RM19.9 bilion.

Malah, tanah milik TH yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur dipindahkan pada nilai RM400 juta dengan menikmati premium sebanyak RM204 juta berbanding dengan nilai buku asal TH berjumlah RM196 juta.

Hakikat itu diperjelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof  berdasarkan jawapan bertulisnya di Parlimen hari ini berikutan soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.

Penjelasan itu menyatakan, saham FGV,  juga telah dipindahkan pada nilai RM4.62 sesaham, iaitu harga kos pembelian TH sedangkan harga pasaran semasa pada hujung 2018 iaitu 72 sen sesaham.

Berdasarkan pegangan keseluruhan sebanyak 283.7 juta saham, TH sepatutnya mengalami kerugian sebanyak RM1.1 bilion pada hujung 2018 (iaitu kerugian sebanyak 84 peratus daripada jumlah pelaburan RM1.3 bilion).

Meskipun, harga pasaran semasa saham FGV kini telah pulih kepada sekitar RM1.10 sesaham, harga itu adalah 76.2 peratus lebih rendah berbanding kos belian asal TH dan boleh menyebabkan kerugian sebanyak RM998 juta.

Begitu juga dengan saham seperti Malakoff, walaupun syarikat penyenaraian awam  ini untung, kos pembelian TH adalah tinggi pada RM1.80 sesaham.

Berdasarkan harga semasa pada hujung 2018 iaitu 80 sen dan jumlah pegangan 500 juta saham, jumlah kerugian boleh menjangkau setengah bilion ringgit (atau kerugian 55 peratus daripada jumlah pelaburan asal).

Meskipun terdapat pihak yang mendakwa pegangan saham Malakoff memberikan  dividen sekitar RM30 juta setahun kepada TH, peratusan sebenar dividen yang dinikmati hanyalah sekitar 3.3 peratus, bukan 7.5 peratus kerana kos asal pembelian TH adalah berjumlah RM900 juta.

Bahkan, TH perlu menunggu selama 17 tahun untuk menutup semula kerugian setengah bilion yang dialami berdasarkan dividen RM30 juta setahun.

Keadaan ini tidak berlaku jika kadar rosot nilai berhemat diamalkan di bawah pengurusan lama TH, bukan pada tahap 90 peratus, dan peruntukan rosot nilai dibuat pada penyata untung rugi pada tahun-tahun yang lepas.

Malah, TH tentunya masih dapat terus memegang kesemua saham ini.

Malangnya, kesemua kerugian saham ini telah diletakkan di bawah rizab-rizab lain berdasarkan penyata kewangan 2017 yang diaudit dan menunjukkan nilai negatif RM4.6 bilion.

-BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.