Hoki Piala Sultan Azlan Shah: India laung amaran awal

0
74

Jepun yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, bagaimanapun wajar diberikan pujian terutama bahagian pertahanan yang berjaya mengekang asakan jentera India.

JUARA lima kali, India melaungkan amaran awal dalam misi memburu gelaran juara buat kali keenam ada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2019.

Pasukan ranking nombor lima dunia itu menepati ramalan sebagai pasukan pilihan apabila berjaya menundukkan Jepun 2-0 dalam aksi sulung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak hari ini (23 Mac).

Pemain pertahanan, Varun Kumar meletakkan India di depan apabila berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-24.

Simranjeet Singh melengkapkan kemenangan buat India dengan menjaringkan gol padang menerusi gerakan serangan balas yang dicipta pada minit ke-55.

Jepun yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, bagaimanapun wajar diberikan pujian terutama bahagian pertahanan yang berjaya mengekang asakan jentera India.

Cuma, jentera serangan Jepun gagal menyempurnakan beberapa peluang yang dimiliki bagi menjaringkan gol.

Kapten India, Manpreet Singh mengakui pasukannya berdepan kesukaran untuk menembusi kubu pertahanan Jepun namun bernasib baik berjaya menyempurnakan dua peluang yang dicipta bagi menjaringkan gol.

“Jepun bermain dengan baik terutama pada bahagian pertahanan. Agak sukar untuk kami menjaringkan gol.

“Kami juga bermula dengan perlahanan dan melakukan banyak kesilapan. Namun, kami berjaya mendapat momentum pada suku kedua dan akhirnya menjaringkan gol.

“Ini baru perlawanan pertama dan ada banyak kelemahan yang kami perlu baiki untuk aksi kedua menentang Korea Selatan esok (24 Mac),” kata Manpreet selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan keenam India ke atas Jepun sejak Januari 2018.

India sebelum ini sudah lima kali menjuarai Piala Sultan Azlan Shah bermula pada edisi 1985, 1991, 1995, 2009 dan 2010 (juara bersama dengan Korea Selatan).

Sementara itu, jurulatih Jepun, Siegfried Aikman tetap gembira dengan prestasi ditunjukkan oleh anak-anak buahnya terutama benteng pertahanan yang beraksi dengan cukup baik bagi mengelak India menjaringkan lebih banyak gol.

“Saya fikir kami mengawal perlawanan dengan baik cuma kami gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol. Namun, barisan pertahanan kami bermain dengan baik.

“Kami perlu baiki kelemahan jentera serangan. Esok kami akan bertemu Malaysia dan ia pastinya akan menjadi perlawanan yang baik,” kata Aikman.

Aksi Malaysia bertemu Jepun ibarat ulangan final Sukan Asia 2018 di Indonesia, yang mana Jepun menang menerusi penentuan penalti.

http://azlanshahcup.com.my/india-laung-amaran-awal/

— AzlanShahCup.com.my

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here