Kekeliruan konsep Islam Rahmatan Lil Alamin – Abdullah Zaik

0
76

 

Jika diandaikan ideologi Pakatan Harapan sebagai satu mata wang syiling, kalau satu wajah tertulis Islam Rahmatan Lil Alamin dan satu wajah lagi sosialis liberal, orang tentu akan anggap ia hanya satu mata wang sama.

SEBAHAGIAN daripada petikan ucapan dasar Amir Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Ab Rahman pada Mesyuarat Agung Isma Ke-16 pada 16 Mac 2019 di Hotel Everly Putrajaya, Putrajaya.

Saya terpaksa menyentuh konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh sesetengah pihak, kerana konsep ini telah menjadi kekeliruan di dalam kerajaan.

Bagaimana Islam yang syumul dan mutlak boleh menjadi tempelan kepada ideologi yang berasaskan sosialis liberal demokratik”.

Kalau dikaji, kita akan dapati konsep Islam Rahmatan Lil-Alamin ini adalah diolah daripada sebahagian dari alkitab (al-Quran) dan tidak mencerminkan keseluruhan Islam. Ia ditafsirkan dari sudut yang sesuai dengan prinsip-prinsip liberal dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang lain yang berkaitan dengan wala wa bara’, hak dan batil, amar ma’ruf nahi mungkar, halal dan haram dan seumpamanya.

Kemudian mereka menjadikan konsep rahmah lilalamin itu seakan-akan kaedah kuliah iaitu sebagai rujukan tertinggi dalam agama, dengan erti kata lain segala yang bercanggah dengannya adalah mansukh (terbatal) atau muawal (diberi pengertian lain). Perbuatan seperti ini sebenarnya menyerupai sikap bani Israel.

“Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Baqarah 2:85)

Kaedah ini menghalalkan tahaluf mereka dengan bukan Islam tanpa syarat dan mengharuskan sikap mereka untuk mengadaptasi pendirian-pendirian yang selari dengan liberal demokratik, sosialis sekular dan hak asasi manusia melampau yang bercanggah dengan Islam. Dengan itu, mereka kelihatan moderat dan diiktiraf oleh DAP dan sekutu mereka dari Barat.

Di sebalik kecelaruan pemikiran ini, mereka sebenarnya didorong oleh kepentingan politik mereka semata-mata. Kebanyakan Ahli Parlimen Melayu ini menang dengan undi bukan Melayu. Oleh sebab itu, demi survival politik, mereka mengorbankan perjuangan Islam sebenar yang sudah tentu tidak akan direstui rakan-rakan bukan Islam dan pengundi-pengundi mereka.

Kalau dilihat secara menyeluruh, tidak dapat disangkal lagi bahawa Pakatan Harapan yang didominasi oleh PKR dan DAP mendokong ideologi sosialis liberal. Sosialis liberal adalah ideologi yang dibangunkan oleh Fabian Society, yang merupakan satu cabang dari Freemason. Dalam konteks ideologi pemerintahan, Islam Rahmatan Lil Alamin boleh dilihat sebagai wajah lain kepada fahaman sosialis liberal.

Sukar difahami bagaimana sesebuah kerajaan mengamalkan ideologi yang bercanggah antara satu sama lain. Islam yang syumul dan mutlak tidak mungkin tumbuh atas pohon sosialis liberal tanpa diedit. Jika diandaikan ideologi Pakatan Harapan sebagai satu mata wang syiling, kalau satu wajah tertulis Islam Rahmatan Lil Alamin dan satu wajah lagi sosialis liberal, orang tentu akan anggap ia hanya satu mata wang sama.

https://kuseman.com/2019/03/23/pendirian-isma-terhadap-islam-rahmatan-lil-alamin/

— KuSeman.com

Ucapan penuh dasar pada Mesyuarat Agung Ke-16 bertajuk ” Menebus kedaulatan menjulang peradaban.”
https://www.ismaweb.net/2019/03/16/menebus-kedaulatan-menjulang-peradaban/?fbclid=IwAR1ptCQ-OVP3UA82fS2lRyLwTLATXhc5WRzlyd4HDsuLsm0gepxqh-IHzJk

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here