Sultan Brunei terima Ijazah Kehormat Doktor Kepimpinan Islam

0
68
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (R) confers an honorary doctorate to Sultan of Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah at the Dewan Tuanku Canselor, UiTM on March 23, 2019. — Bernama
(GAMBAR) YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan), yang juga Canselor baharu UiTM, menyerahkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor (Kepimpinan Islam) kepada Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Tuanku Canselor, UiTM pada 23 Mac 2019. — Gambar Bernama.

 

Penganugerahan itu adalah penghargaan atas sumbangan besar baginda dalam pemerintahan dan kemajuan pesat Brunei dari aspek pentadbiran, undang-undang, keagamaan, pendidikan, sosioekonomi serta kemasyarakatan berteraskan syariat Islam.

SHAH ALAM: Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor (Kepimpinan Islam) sempena Istiadat Konvokesyen ke-90 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini (23 Mac).

Penganugerahan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang juga Canselor baharu UiTM.

Sultan Hassanal Bolkiah dalam titah baginda selepas menerima anugerah itu menyifatkan penganugerahan ijazah kehormat itu sebagai satu penghormatan besar kepada baginda dan seluruh penduduk Brunei sebagai pemangkin hubungan dua hala.

“Beta amat gembira dengan hubungan dua negara yang sentiasa diperkukuh dengan kerjasama universiti-universiti di Brunei dan Malaysia termasuk UiTM.

“Hubungan Malaysia dan Brunei ini sangat istimewa dalam kerjasama pelbagai bidang termasuk pendidikan.

“Beta difahamkan UiTM bekerjasama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam penganjuran persidangan antarabangsa halal pada April akan datang.

“Justeru, beta ingin melihat hubungan baik melalui kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran pelajar antara institusi pengajian tinggi kita akan dijalin lebih kukuh untuk memberikan impak yang besar kepada kedua-dua negara,” titah baginda.

Turut berangkat ke istiadat penganugerahan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, penganugerahan itu adalah penghargaan atas sumbangan besar baginda dalam pemerintahan dan kemajuan pesat Brunei dari aspek pentadbiran, undang-undang, keagamaan, pendidikan, sosioekonomi serta kemasyarakatan berteraskan syariat Islam.

“UiTM menjunjung kasih atas kesudian Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei menerima penganugerahan itu dalam istiadat konvokesyen kali ini.

“Selain memperkukuh ukhuwah, penganugerahan kali ini juga sebagai jalinan dalam memupuk kerjasama dua negara dalam pelbagai bidang, baik akademik mahupun bukan akademik,” katanya.

Sementara itu Mohd Azraai berkata, pada konvokesyen kali ini, seramai 22,594 graduan menerima diploma dan ijazah dalam bidang masing-masing.

“Seramai 9,750 graduan akan menerima diploma, 11,505 ijazah sarjan muda, 61 diploma lepas ijazah, 110 ijazah profesional, 1,059 ijazah sarjana dan 109 graduan akan menerima ijazah doktor falsafah,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/544513/sultan-brunei-terima-ijazah-kehormat-doktor-kepimpinan-islam

— Berita Harian

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here