[PUISI] Anda mencemarkan sungai…

[PUISI] Anda mencemarkan sungai…

 

Oleh ZAINI UJANG

Pencemaran sungai memudaratkan… Pencemaran sungai melambangkan kekotoran jiwa dan kegawatan minda.

ANDA mencemarkan sungai sekiranya anda membiarkan longkang di halaman rumah, atau ruang kerja dipenuhi sampah atau kumbahan dari pelbagai sumber (longkang sepatutnya kering kecuali ketika hujan). Air longkang tersebut akan mengalir ke longkang besar, kemudian ke anak sungai, ke sungai utama, dan akhirnya ke samudera.

Anda mencemarkan sungai jika anda tidak memastikan sisa makanan, buangan domestik, pembungkus dan botol plastik diuruskan dengan sempurna oleh operator pengurusan sampah kerana sampah tersebut akhirnya akan dihanyutkan ke longkang kemudian ke sungai. Buangan tersebut akan mengotorkan sungai, pantai dan menjejaskan persekitaran kota dan desa.

Anda mencemarkan sungai jika anda tidak mengosongkan tangki septik secara berkala, tidak menyambung saluran kumbahan kepada loji rawatan kumbahan, atau tidak membayar kos perkhidmatan pembetungan. Kumbahan mengandungi kuman penyakit, sebatian organik dan nutrien yang perlu dirawat sebelum dilepaskan ke sungai seadanya.

Anda mencemarkan sungai jika anda merelakan majikan anda tidak menyediakan kemudahan mengumpul, merawat dan melupuskan sisa berjadual dan sisa tidak berjadual. Sisa dalam apa bentuk perlu diuruskan sebaiknya diguna semula, dinyahcemarkan atau dilupuskan mengikut peraturan sedia ada.

Pencemaran sungai memudaratkan ekosistem setempat, menyebabkan sumber air tercemar, melupuskan pelbagai spesis ikan, udang dan ketam, menjejaskan pendapatan nelayan, merosakkan rantaian makanan dan mencemarkan sumber makanan. Pencemaran sungai meninggikan kos rawatan air minuman, meningkatkan risiko penyakit barah dan saraf kepada seluruh warga, menjejaskan industri pelancongan dan mengaibkan persekitaran.

Pencemaran sungai melambangkan kekotoran jiwa dan kegawatan minda.

Bandar Baru Bangi
20 Mac 2019

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.