Pendakwaan akan buktikan DS Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Bhd.

Pendakwaan akan buktikan DS Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Bhd.
Gambar atas: Beberapa kotak dokumen di bawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas perbicaraan kes yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. –fotoBERNAMA 

 

Laporan oleh MURNI WAN OMAR, MOHD AZAM SHAH YAACOB, NUR LELA ZULKIPLI DAN MAHAIZURA ABD MALIK

 

KUALA LUMPUR — Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa antara bukti akan dikemukakan adalah kredit kad Datuk Seri Najib Razak pernah dicaj sebanyak AS$130,625 (RM532,918.17) bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Tommy berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, beban pihak pendakwaan sekarang adalah untuk membuktikan kes terhadap Datuk Seri Najib Razak melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh terbabit secara terus dengan keputusan pihak kerajaan berhubung pinjaman berjumlah RM4 bilion diterima SRC International Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Pendakwaan akan mengemukakan bukti terdapat cek dikeluarkan untuk kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Langgak Duta di sini dan rumahnya di Pekan, Pahang termasuk kepada beberapa komponen Barisan Nasional,” katanya.

Menurut Tommy, dalam membuktikan kes dibawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa terdapat pecah amanah berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

“Kami akan membuktikan bahawa resolusi khas diluluskan bagi meminda Artikel Persatuan SRC International untuk melantik Najib sebagai Penasihat Emeritus. Tertuduh tidak jujur dengan dirinya dengan memperoleh secara jenayah wang RM42 juta sehingga menyebabkan SRC kehilangan dana itu.

“Kami juga akan membuktikan bahawa pada 24 dan 29 Disember 2014 sejumlah RM27 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam peribadi Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd and Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Pendakwaan juga akan membuktikan bahawa 10 Februari dan 2 Mac 2015, RM10 juga milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh melalui akaun syarikat yang sama,” katanya.

Manakala bagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan. Wang Haram, Pencegahan. Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, pendakwaan akan membuktikan bahawa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib.

“Kami akan membuktikan bahawa tertuduh pada 26 Disember 2014, 29 Disember 2014 dan 10 Februari 2015 terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram untuk memperoleh wang berjumlah RM42 juta.

“Tertuduh juga didakwa ada mengeluarkan15 cek daripada akaun peribadi miliknya berjumlah RM10,776,514. Kita akan buktikan semua itu melalui keterangan terus, keterangan mengikut keadaan, pernyataan saksi dan dokumen,” katanya.

Terdahulu, Tommy berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa Najib terbabit dalam tujuh kes jenayah membabitkan dana SRC International Bhd.

“Perbicaraan ini menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh melangkaui undang-undang.

“Perbicaraan ini juga akan menjadi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan tertinggi negara,” katanya.

Prosiding perbicaraan akan bersambung 15 April sehingga 10 Mei depan.

-HARIAN METRO

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.