Kian Meng-Pei Jing kibar cabaran negara pada separuh akhir

Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019

Kian Meng-Pei Jing kibar cabaran negara  pada separuh akhir
(GAMBAR) TAN KIAN MeNG-Lai Pei Jing beraksi cemerlang untuk muncul satu-satunya pasangan negara berjaya melepasi halangan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur pada 5 April 2019.

 

Oleh AMRAN MULUP

Pujian harus diberikan kepada gandingan badminton negara itu yang terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan pasangan dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavia Kandow pada suku akhir

KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara menerusi pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menyelamatkan maruah negara apabila layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam tadi.

Pujian harus diberikan kepada gandingan badminton negara itu yang terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan pasangan dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavia Kandow 17-21, 21-16, 21-16 pada suku akhir semalam (5 April 2019).

Kian Meng-Pei Jing muncul satu-satunya wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada separuh akhir hari ini (6 April 2019) ketika rakan-rakan lain rebah satu demi satu sejak daripada pusingan pertama.

Gandingan ranking ke-38 dunia itu akan berdepan pasangan Wang Yilyu-Huang Dongping dari China yang juga pilihan kedua kejohanan pada separuh akhir untuk merebut tempat dalam perlawanan akhir Ahad ini.

Terdahulu, cabaran pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying disekat oleh gandingan Yilyu-Dongping dari China dalam aksi suku akhir yang mencuri tumpuan di Axiata Arena.

Pujian harus diberikan kepada Peng Soon-Liu Ying apabila memberikan tentangan sengit khususnya pada set ketiga biarpun tunduk 19-21, 21-16, 25-27.

Sementara itu, pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik, Lin Dan dari China layak ke separuh akhir selepas menewaskan Kanta Tsuneyama dari Jepun 16-21, 21-17, 21-10 untuk bertemu rakan senegara, Shi Yuqi pada separuh akhir hari ini (6 April 2019).

Seorang lagi rakan Lin Dan, Chen Long yang juga pilihan keempat berjaya melepasi halangan suku akhir selepas mudah menjinakkan Kidambi Srikanth dari India 21-18, 21-19 untuk bertemu Jonatan Christie dari Indonesia pada separuh akhir.

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.