[VIDEO] Nelydia Senrose diijabkabulkan dengan Mohd Hafez

[VIDEO] Nelydia Senrose diijabkabulkan dengan Mohd Hafez

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd. Hamid dalam satu majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel.

PELAKON jelita Nelydia Senrose melahirkan rasa syukur kerana impiannya untuk bergelar isteri dipermudah oleh Allah.

Hari ini (6 April) kira-kira pukul 3.28 petang, dengan hanya sekali lafaz, Nelydia, 24, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohd. Hafez Halimi Abdul Hamid, 35.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Abd. Hamid dalam satu majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkemuka tanah air di Kuala Lumpur.

Sebelum majlis akad nikah yang dihadiri kira-kira 200 tetamu dan kenalan rapat, pasangan ini juga melangsungkan pertunangan sebagai syarat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.

Anggun mengenakan persalinan rona putih gading rekaan Ezuwan Ismail, Nelydia atau nama lengkapnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen bersyukur segala yang dirancang dalam tempoh singkat sejak awal tahun ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah impian, niat serta hajat yang saya harapkan selama ini dipermudah.

“Doa saya di Tanah Suci Mekah serta apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya dan dia. Insya-Allah,” katanya.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan ini bertemu kali pertama pada 6 April 2017 sekadar kenalan biasa. Namun segalanya berubah apabila mereka kembali bertemu pada penghujung tahun yang sama.

Apabila hubungan itu terus mekar, Hafez terbang ke Amsterdam untuk memberi kejutan, sekali gus melamar Nelydia pada April 2018. Ketika itu pelakon yang juga adik kepada Uqasha Senrose ini sedang bercuti di Eropah.

“Selepas memutuskan untuk membawa hubungan kami ke fasa seterusnya, saya bawa dia berjumpa dengan papa untuk meminta restu selain keluarga yang lain.

“Memang asalnya rancangan perkahwinan ini nak dibuat tahun lalu. Tetapi ada saja kekangan. Di sebalik ujian dan halangan sebelum ini, saya dan suami berjaya melaluinya sebaik mungkin.

“Sekembali dari umrah 5 Januari lalu, saya dan dia putuskan untuk ke gerbang perkahwinan dan memulakan persiapan,” katanya.

Mengenai Hafez, pelakon Lafazkan Kalimah Cintamu ini menyifatkan suaminya seorang yang melengkapi dan menenangkan hati.

Esok (7 April) pasangan ini akan diraikan pada sebelah malam juga di lokasi sama majlis nikah berlangsung.

Pada majlis itu, Nelydia bakal mengenakan rekaan Alia Bastamam, manakala Hafez pula dengan busana Ezuwan Ismail. Untuk majlis potong kek, kedua-duanya bakal menggayakan rekaan Rizman Ruzaini.

Jika tiada aral melintang, sebuah majlis keraian akan diadakan di Kelantan pada musim raya depan.

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.