Destinasi percutian di Desaru yang mengujakan

Destinasi percutian di Desaru yang mengujakan
(GAMBAR) PELBAGAI jenis buah yang dihidangkan di Desaru Fruit Farm, Desaru di Johor.

 

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH
[email protected]

Andai masih tercari-cari destinasi percutian yang ideal, mungkin Desaru adalah pilihan terbaik untuk dikunjungi bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

SEBUT sahaja nama Desaru, pasti ramai yang membayangkan kawasan pesisiran pantai yang indah dan mendamaikan.

Namun, Desaru bukan hanya memiliki keindahan pantai malah mempunyai pelbagai tarikan lain seperti produk agropelancongan dan pusat perangin baharu yang mengujakan.

Nyata kehadiran Taman Tema Air Desaru Coast membuatkan ramai yang tidak sabar untuk merasai keseronokan bermain air bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

Wakil media melawat ke Desaru Fruit Farm dan merasai keenakan pelbagai buah-buahan segar serta hidangan yang dihasilkan daripada tanaman di taman berkenaan.

Kesempatan memyertai Media Escape anjuran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dengan Santai Travel baru-baru ini memberi peluang kepada penulis meneroka pelbagai produk pelancongan yang menjadi sumber ‘kekayaan’ Desaru.

Bagi yang pertama kali berkunjung ke Desaru, usah pening tentang penginapan kerana terdapat banyak hotel, resort dan calet yang sentiasa mengalu-alukan ketibaan mereka.

Antaranya Hotel Hard Rock, Tunamaya, Baya Balau Beach Resort, Amansari dan Chalet D’Punggai.

Hanya perlu pilih sahaja mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing.

Antara yang menarik untuk dikunjungi ialah Desaru Fruit Farm seluas 42 hektar yang subur dan dipenuhi oleh lebih 100 jenis tanaman, khususnya buah-buahan tropika seperti nangka, rambutan, durian, cempedak dan ciku serta buah naga yang sering menjadi rebutan pengunjung.

Malah, tidak lengkap kunjungan ke situ tanpa merasai buah-buahan segar yang dijual termasuk hidangan berasasan tanaman dan buah-buahan.

Bujang Boat Firefly turut menyediakan perkhidmatan menyusuri Sungai Lebam menggunakan bot sambil menikmati makan malam.

Selain itu, pengalaman makan malam di atas bot yang disediakan pihak Bujang Boat Firefly sambil menyusuri Sungai Lebam pasti memberi pengalaman indah yang sukar dilupakan.

Apatah lagi sempat ‘bermesra’ dengan kumpulan kelip-kelip atau kunang-kunang yang setia menghiasi pepohon di tebingan sungai berkenaan.

Pengunjung juga boleh mencuba aktiviti ‘flying fox’ merentasi sungai semasa berkunjung ke Panz Village di Kampung Johor Lama.

Kerlipan unggas berkenaan apabila disimbah air pasti menimbulkan keceriaan kepada pengunjung terutama bagi yang pertama kali menyaksikan ‘anugerah’ Tuhan itu.

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lebih mencabar, Panz Village di Kampung Johor Lama harus menjadi lokasi sesuai untuk beriadah.

Selain melakukan ‘flying fox’ menyeberangi sungai, aktiviti merentasi hutan sambil menyaksi keindahan flora dan fauna dapat meredakan tekanan kerja.

Jika bernasib baik, pengunjung dapat menyaksikan kumpulan monyet atau lotong bergayutan dari pokok ke pokok mencari makanan, khususnya buah-buahan hutan.

Selain itu, kunjungan ke The Wetlands, pusat penternakan belangkas, perusahaan keropok lekor dan taman buaya di Teluk Sengat juga pasti menyeronokkan.

Setelah penat seharian, manjakan diri berendam di kolam mandi hotel atau resort penginapan yang pastinya dapat menyegarkan semula badan.

Andai masih tercari-cari destinasi percutian yang ideal, mungkin Desaru adalah pilihan terbaik untuk dikunjungi bersama-sama keluarga atau rakan-rakan.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.