Kurang follower, nama Beego ditolak oleh stesen TV?

Kurang follower, nama Beego ditolak oleh stesen TV?

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Bagi saya, semua itu rezeki dan saya sentiasa bersikap positif. Saya ada dengar juga yang stesen TV berpandukan kepada jumlah pengikut (followers) dalam laman sosial seseorang artis.

KEBELAKANGAN ini kelibat dan nama pelakon Beego kurang menyinari drama yang disiarkan di stesen televisyen (TV) tempatan.

Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 39, memberitahu kali terakhir beliau berlakon pada Februari lalu untuk telefilem selepas lama menyepi.

“Saya berlakon telefilem itupun sebab Ana Dahlia dan suami panggil berlakon produksi mereka. Kali terakhir saya berlakon Februari tahun lepas dengan Emma Maembong.

“Saya kurang berlakon kerana tahun lepas saja nama saya ditolak oleh tiga stesen televisen yang berbeza. Alasannya watak tak sesuai dengan saya,” ceritanya ketika ditemui di Hotel Premiera Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, tahun ini pun ada satu lagi penolakan oleh stesen TV. Itulah konflik yang kerap dihadapi Beego setiap kali mendapat tawaran berlakon.

Ujar Beego, beliau sedar tentang senario bahawa kuasa menentukan pelakon dalam sesebuah drama bukan terletak pada tangan produser atau pengarah tetapi pada stesen TV.

“Bagi saya, semua itu rezeki dan saya sentiasa bersikap positif. Saya ada dengar juga yang stesen TV berpandukan kepada jumlah pengikut (followers) dalam laman sosial seseorang artis.

“Tiga tahun dulu ada individu cadang pada saya untuk beli pengikut tapi bagi saya cara itu tak telus. Masa saya berlakon drama Puteri dulu tak ada sosial media macam ni. Budak-budak yang ikuti drama Puteri dulu mungkin dah tak follow saya,” akuinya.

Jelas Beego, pasaran sekarang banyak bergantung kepada sosial media dan stesen TV pun menilai artis berdasar jumlah pengikut.

Tambahnya, beliau tak kisah kalau perlu mengikut gaya sekarang iaitu ‘membeli’ pengikut untuk memantapkan kerjaya seni.

Namun semua itu sudah terlambat bagi artis yang seusianya untuk melakukan perkara tersebut.

“Kalau nak beli pengikut kerana tuntutan kerjaya saya tak kisah, esok saya boleh beli tapi sudah lambat untuk saya berbuat demikian.

“Tiga tahun lalu, ada orang tawar saya untuk beli pengikut dan dalam tempoh dua minggu gerenti jumlah pengikut akan meningkat. Waktu itu saya tak rasa perlu buat itu semua.

“Kalau untuk artis baharu yang mungkin tak ada tawaran berlakon tapi dia ada pakej sebagai pelakon, rasanya bolehlah buat perkara itu demi kesinambungan kerjaya,” katanya memberi pendapat.

Tambahnya, stesen TV memerlukan artis yang ramai pengikut untuk naikkan rating. Untuk orang berumur sepertinya pula lebih mempertaruh bakat.

“Kalau untuk orang baharu perkara itu yang dipertaruh. Saya faham dunia indusrti kerana ia seperti roda, ada masa di atas dan ketika lainnya di bawah.

“Satu hari orang akan sedar bahawa artis yang berbakat diperlukan untuk mewarnai dunia penerbitan drama atau filem.

“Saya tak boleh demand watak hero tapi orang seperti saya kena ada dalam drama atau filem tersebut untuk membantu supaya cerita itu ada warnanya,” jelasnya.

Selain Beego, isterinya, Linda Hashim juga sudah empat tahun tidak mendapat tawaran berlakon. Katanya, Linda memang berharap untuk mendapat tawaran berlakon.

“Kira-kira empat tahun juga dia tak berlakon drama. Linda pun dah lama tak berlakon sebab sibuk menjaga anak dan bila-bila masa saja dia akan melahirkan anak ketiga.

“Mula-mula scan perempuan, lepas tu scan lagi lelaki pula. Sekarang ni scan perempuan balik. Bagi saya tak kisah pun anak perempuan atau lelaki, janji isteri dan bayi sihat. Kalau saya ada tiga orang anak perempuan alhamdulillah,” jelas ayah kepada Jelita Clarrisa dan Anggun Cassandra.

Kata Beego, isterinya mahu anak lelaki kerana selepas ini Linda berhasrat untuk tidak hamil lagi.

“Linda nak anak lelaki sebab dia dah tak nak hamil lagi. Bagi saya walaupun tak kisah yang bakal lahir ini perempuan atau lelaki tapi setiap ayah memang nak ada anak lelaki.

“Nama dah ada, lebih kurang nama Anggun dan Jelita juga. Kalau anak perempuan selalunya Linda dan saudara mara dia yang akan tentukan nama sebab saya dah sediakan nama untuk anak lelaki,” katanya tersenyum.

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.