[VIDEO] Kegiatan pembalakan di Hulu Perak diarah dihentikan serta merta – Ahmad Faizal

[VIDEO] Kegiatan pembalakan di Hulu Perak diarah dihentikan serta merta – Ahmad Faizal
Gambar atas: Sungai Rui, Gerik berlaku tanda pencemaran dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan namun tahap pencemaran masih belum di tahap membimbangkan. NSTP/ABDULLAH YUSOF

 

Kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui.

 

IPOH — Perak mengarahkan semua kegiatan pembalakan di kawasan Hulu Perak membabitkan kawasan hulu dan sepanjang Sungai Rui dihentikan serta merta dan dibekukan selain mengetatkan syarat bagi operasi perlombongan sehingga laporan muktamad kajian berkaitan pencemaran sungai berkenaan diperoleh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata walaupun tahap pencemaran Sungai Rui adalah rendah dan tidak mengancam keselamatan orang ramai, berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan oleh Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), kerajaan negeri tetap mengambil serius terhadap penemuan ini.

“Tindakan kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas sebaik sahaja mendapat taklimat daripada agensi berkaitan mengenai pencemaran Sungai Rui, jelas membuktikan komitmen tidak berbelah-bahagi kerajaan negeri dalam melindungi alam sekitar dan rakyat negeri Perak.

“Kerajaan negeri juga tidak akan teragak-agak untuk menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak khususnya di sepanjang Sungai Rui, bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pencemaran sungai berkenaan selepas melancarkan Kad Perak Prihatin di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri mengesan unsur pencemaran arsenik di Sungai Rui, Gerik, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari dipetik berkata, berdasarkan hasil ujian sampel terhadap Sungai Rui, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui bahan logam berat dipercayai mengandungi arsenik.

Ahmad Faizal berkata, buat masa ini Jabatan Kesihatan Negeri merumuskan hasil kajian termasuk pemerhatian dan pemeriksaan fizikal ke atas penduduk adalah masih awal dan belum lagi dapat dikaitkan dengan pendedahan terhadap arsenik, bagaimanapun jabatan akan terus memantau tahap kesihatan penduduk khususnya Kampung Air Ganda yang terletak berhampiran Sungai Rui.

Katanya, hasil ujian contoh air yang dijalankan ke atas sampel air di Loji Air Ganda yang terkini menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan di bawah piawaian yang telah ditetapkan oleh WHO iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter dan ia bermakna air terawat yang dibekalkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) kepada penduduk di situ adalah selamat untuk digunakan.

Dalam pada itu, mengenai syarat ketat yang perlu dipatuhi pelombong dan pengusaha kilang pemprosesan mineral, Ahmad Faizal berkata, kegagalan pihak berkenaan memenuhi syarat ditetapkan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Peraturan-peraturan di bawahnya akan mengakibatkan mereka dikenakan tegas.

Katanya, ia termasuk dikenakan tindakan surat tunjuk sebab, notis berhenti operasi sementara, perintah berhenti operasi, Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) ditarik balik atau dibatalkan dan berdepan tindakan mahkamah.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan laporan konklusif daripada Insititut Kajian Perubatan Malaysia (IMR) sebelum memutuskan tindakan seterusnya selain mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang tidak berlandaskan kepada fakta yang tepat dan sekali gus menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat

“Pemantauan dan penguatkuasaan oleh semua agensi terbabit akan dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan juga rakyat negeri Perak, kami sangat menghargai komitmen jitu yang ditunjukkan oleh semua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam menangani isu pencemaran ini.

“Kajian lanjut akan diteruskan bagi mengekang impak negatif semua aktiviti ekonomi dan aktiviti manusia terhadap alam sekitar malah kita perlu belajar daripada kesan aktiviti manusia selama 100 tahun yang lalu dan mengambil langkah perlu sekarang, untuk membetulkan keadaan,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.