Finas: Cabaran besar menunggu Hans Isaac, Ahmad Idham

Finas: Cabaran besar menunggu Hans Isaac, Ahmad Idham

 

APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

Skop industri filem tempatan kini lebih luas kerana bukan produksi Melayu sahaja, sebaliknya generasi baharu Malaysia semua kaum berganding bahu menghasilkan filem yang berjaya mendapat sambutan ‘box office’.

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengucapkan selamat datang kepada dua tokoh muda perfileman tempatan, Datuk Gerald Hans Isaac dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk menerajui kerusi glamour tetapi panas bagi agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu.

Hans Isaac, 48, dilantik sebagai Pengerusi Finas berkuat kuasa pada 8 April 2019 menggantikan pemangku jawatan tersebut, Datuk Samsuni Mohd. Nor yang menjalankan tugas memangku selama lebih empat bulan.

Terdahulu Ahmad Idham, 45, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas yang sinonim sebagai pengarah filem ‘box office’ itu berkuat kuasa pada 11 Mac 2019.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dalam kenyataannya berkata, pelantikan kedua-dua tokoh perfileman itu bagi jawatan masing-masing selama dua tahun adalah selaras dengan keputusan Ahli Lembaga Finas berdasarkan peruntukan Akta Finas 1981.

Beliau berharap Hans Isaac dan Ahmad Idham dapat menjalankan tugas dengan baik sejajar dengan matlamat penubuhan serta fungsi Finas itu, sekali gus perlu mendapat kerjasama daripada Ahli Lembaga Finas.

Apa yang menarik mengenai kedua-dua tokoh perfileman itu ialah mereka sama-sama terlibat secara langsung selama 22 tahun dalam industri kreatif tersebut sebagai penulis skrip, pelakon, pengarah dan penerbit filem.

Ini bermakna KKMM bertindak pada landasan yang betul melantik ‘orang filem sejati’ Hans Isaac dan Ahmad Idham menerajui Finas dengan harapan dalam mencari kaedah terbaik bagi memberi ‘nafas baharu’ kepada usaha memajukan industri perfileman tempatan, sekali gus dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Mereka berdua bukan sahaja sudah ‘masak’ dengan kerenah dalam industri perfileman, malah mempunyai latar belakang akademik yang tinggi, bersesuaian dengan tugas sebagai ‘pegawai tadbir’ berkaitan ‘pengurusan’ dan ‘pemasaran’ bagi memajukan bidang tugas berkenaan

Tetapi dalam masa yang sama mereka perlu rajin ‘menyelongkar’ semula dokumentasi Dasar Perfileman Negara untuk dibaca sebagai garis panduan dan menilai akan kesesuaian dasar tersebut dengan era terkini.

Hans Isaac berketurunan Filipina-Sepanyol kelahiran Johor Bahru itu adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Institute of Commerce (Singapura) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel (Kolej Stanford, Malaysia).

Filem lakonan Hans Isaac yang menjadi sebutan ramai ialah ‘Persona Non Grata‘ berpasangan dengan Erra Fazira (2006). Selain itu Hans Isaac pernah berlakon dalam filem keluaran Filipina berjudul ‘Miss You Like Crazy‘ bersama bintang popular negara itu, John Lloyd Cruz dan Bea Alonzo hasil arahan Cathy Gracia Milona (2010).

Seterus pada tahun 2013, Hans Isaac pula memberanikan diri menubuhkan syarikat Tall Order Productions Sdn. Bhd., sekali gus menjadi pengarah, penerbit dan pelakon filem ‘Lemak Kampung Santan‘ genre drama cinta romantis berpasangan dengan Neelofa bermodalkan kos pembikinan RM1.7 juta, tetapi hanya berjaya mengutip sekitar RM120,000 kerana dipercayai tayangannya pada Hari Raya Aidilfitri itu bersaing dengan sebuah lagi filem komedi Melayu.

Dipercayai kerana kecewa dengan kutipan terendah filem ‘Lemak Kampung Santan‘ itu menyebabkan Hans Isaac tidak lagi berminat untuk menerbitkan filem.

Bagi pengkritik filem tempatan, ‘Lemak Kampung Santan‘ adalah filem berkualiti bertemakan taktik halus dan kotor pemaju hartanah untuk memperdaya orang kampung, tetapi penonton lebih gemar kepada filem komedi slapstik yang kosong tidak membina pemikiran positif.

Penglibatan Hans Isaac dalam organisasi pula ialah beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat Finas dan Ahli Lembaga Persatuan Penerbit Filem Malaysia pada 2012.

Dalam erti kata lain, Finas bukanlah asing bagi Hans Isaac dan sudah tentu semangat beliau kian berkobar-kobar untuk memberi corak baru kepada agensi itu yang sudah lama diperhatinya terhadap pelbagai kekurangan dan perlu dilakukan penambahbaikan pada setiap aspek pentadbiran.

Dalam temu ramah dengan media tempatan tahun 2018, ketika spekulasi beliau akan dilantik sebagai Pengerusi Finas itu, Hans Isaac pernah berkata, industri perfileman tempatan perlu distruktur dengan pembaharuan mengikut peredaran era globalisiasi.

Di samping itu, beliau juga berhasrat akan ‘mengambil berat’ bagi membela nasib penggiat seni di bawah bidang kuasa Finas kerana golongan tersebut merupakan aset kepada industri perfileman.

Ahmad Idham pula yang diberi kepercayaan sebagai CEO Finas itu adalah menggantikan tempat Shakib Ahmad Shakir yang memangku jawatan itu selama empat bulan.

Mengenai kelayakan akademiknya pula, Ahmad Idham adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1991.

Bagi membuktikan minatnya yang mendalam dalam industri perfileman, maka selepas berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, beliau telah menubuhkan Ahmad Idham Film Academy (AIFA) di Nusajaya, Wilayah Iskandar, Johor sekitar 2014.

Antara yang terdapat di AIFA ialah memberi pendidikan bernilai komersial menjurus kepada kemahiran penggunaan digital yang menjadi trend terkini dalam industri kreatif.

Ahmad Idham sebelum ini pernah berpengalaman mengarah filem ‘box office’ genre seram berjudul ‘Jangan Pandang Belakang‘ (mengutip hasil tayangan lebih RM6.33 juta tahun 2007) dan sebuah lagi filem genre aksi komedi ‘Adnan Sempit‘ (mengutip lebih RM7.66 juta tahun 2010), kedua-duanya keluaran Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd., menerusi produsernya, David Teo.

Dalam temu ramah kepada media selepas pelantikan sebagai CEO Finas itu, Ahmad Idham berazam untuk menghimpunkan ‘grup pemikir’ bagi membenihkan idea bernas lagi kreatif ke arah melonjakkan peranan agensi itu dengan lebih berkesan.

Beliau juga berharap kepada penggiat seni agar dapat meluangkan masa datang bertemu dengannya di pejabat bagi menyampaikan permasalahan atau saranan kerana industri kreatif memerlukan perbincangan dan hujah bermotivasi, tetapi bukan semata-mata mengkritik.

Kesimpulannya, Hans Isaac dan Ahmad Idham sudah tahu benar dengan ‘sepak terajang dunia hiburan,’ apatah lagi dalam industri perfileman yang penuh kerenah dan skandal.

Antara kerenah dalam industri perfileman ialah berhadapan dengan sesetengah produser atau pengarah filem yang memerlukan dana dan jika tersalah beri kelulusan wang berjuta-juta ringgit bukan sahaja filem rugi besar atau terbengkalai, malah akan hanyut entah ke mana?

Sebelum ini pun Finas telah disiasat pihak berkuasa berkaitan dengan kelulusan aliran dananya.

Lagipun skop industri filem tempatan kini lebih luas kerana bukan produksi Melayu sahaja, sebaliknya generasi baharu Malaysia semua kaum berganding bahu menghasilkan filem yang berjaya mendapat sambutan ‘box office’, selain masing-masing mempunyai produksi sendiri menggunakan bahasa ibunda, tetapi tetap dikira dalam kategori filem keluaran Malaysia.

Nah, sekarang ‘perahu sudah di air, pengayuh sudah di tangan,’ maka pandai-pandailah Hans Isaac dan Ahmad Idham menggunakan daya kreatif serta integriti mereka bagi melonjakkan kegemilangan Finas yang pernah glamor dan berkualiti suatu ketika dahulu, termasuk dalam dalam penganjuran bengkel latihan perfileman dan penulisan skrip serta seminar perfileman, juga Festival Filem Malaysia (FFM).

Kini pada 2019 sudah memasuki FFM30, tetapi glamornya sudah hilang dan tidak menjadi sebutan masyarakat umum lagi. Apakah kerana penganjur tidak pandai membuat ‘gimik’ atau Finas ketiadaan ‘pegawai perhubungan awam’ berlatar belakang kerjaya wartawan mahupun lulusan sebaran am dari institusi pengajian tinggi (IPT) yang cekap boleh diberi tanggungjawab mempromosi aktiviti Finas dari semasa ke semasa?

Apa yang susah lagi? Kini semua maklumat pada hujung jari. Buat sahaja aktiviti seperti pengisahan tokoh perfileman, seni suara, tenaga belakang tabir filem, penggubah lagu dan seumpamanya lagi, di samping mengadakan seminar meningkat mutu perfileman negara, maka akan berduyun-duyun wartawan hiburan media cetak, media elektronik dan ‘freelance’ media sosial datang ke program anjuran Finas itu, selain membuat siaran akhbar dan mengirim gambar aktiviti paling kurang menerusi aplikasi WhatsApp atau e-mel kepada media yang ‘malas’ menghantar pemberitanya membuat liputan.

Antara ‘kejutan berkualiti’ yang boleh dilakukan oleh Finas ialah dalam kegawatan ekonomi sekarang ‘berani’ menjadi ‘tuan rumah’ bagi penganjuran Festival Filem ASEAN secara sederhana tetapi berkualiti, lengkap dengan seminar mempertingkat mutu perfileman serantau, selain dapat melakukan filem usaha sama bagi memperkenal sektor pelancongan negara anggota, di samping dapat bertukar-tukar maklumat terkini mengenai teknologi atau kaedah terbaik pembikinan filem cereka untuk pasaran lingkungan atau pasaran dunia pada masa hadapan.

Jika Finas dalam tempoh dua tahun ke hadapan ini yang dikendalikan oleh gandingan ‘dua anak wang’ sendiri seandainya tidak melakukan sebarang ‘kejutan berkualiti,’ maka bak kata orang Negeri Sembilan ‘tak dapet lai den nak nolong.’ Ada lagi sambungan ungkapan itu, tetapi pembaca carilah sendiri jawapannya daripada orang Negeri Sembilan.

Sayugia disyorkan kepada Hans Isaac dan Ahmad Idham agar menyedari bertugas di Finas tidak boleh mendiamkan diri seperti peribahasa ‘tikus jatuh ke beras.’ Sebalik kedua-dua mereka ini yang terkenal rapat dengan wartawan hiburan, kenalah rajin-rajin mesra media berkomunikasi sambil memberikan bahan penulisan atau sebaran berkualiti kalau bukan retorik, tetapi berasas dan ada nilai kreatif mungkin pada mulanya dianggap ‘merapu’ tetapi jika bijak boleh direalisasikan menerusi kreativiti fantasi animasi atau lakonan nyata.

Umpamanya kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) kini dalam tahun 2019 merancang mahu membuat ‘kereta terbang,’ maka syorkan kepada pengusaha filem tempatan perlu cepat memintas cabaran minda retorik tersebut menerusi cereka ‘Malaysia sudah ada kereta terbang’ menunjukkan akan berlaku kebaikan dan keburukan, selain insiden luar jangkaan apabila ruang angkasa kota besar seperti Kuala Lumpur dipenuhi dengan ‘kereta terbang’ mungkin kerap berlaku nahas udara ketika kenderaan itu masih asing dipandu ketika mula diperkenal.

Seandainya Hans Isaac dan Ahmad Idham mampu melakukan banyak kejutan ‘berkualiti’ di Finas, maka ada kemungkinan jawatan promosi mereka selama dua tahun itu boleh dilanjutkan untuk beberapa tahun lagi kerana pandai serta kreatif mengtengahkan sebanyak mungkin ‘talent pelbagai bidang’ dalam industri kreatif sama ada mereka lulusan dari dalam mahupun luar negara.

Perlu diingat bahawa bangunan induk Finas terletak di tapak lama Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor tahun 1960-an adalah tempat Seniman Agung Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee gigih berkarya kreatif dahulu, berhampiran dengan Zoo Negara.

Sekurang-kurangnya nostalgia perjuangan gigih P. Ramlee menghidupkan industri perfileman Melayu dari Studio Jalan Ampas, Singapura itu akan menjadi motivasi kepada pewaris bidang berkenaan, sehingga mampu menghasilkan filem bertaraf dunia bagi pasaran global kerana ramai anak Malaysia yang kreatif bertaraf dunia.

Anda jangan tak tahu bahawa pada zaman penjajahan British di Tanah Melayu sekitar tahun 1940-an hingga 1950-an dahulu sudah ada anak Negeri Sembilan yang kreatif pandai mencipta kapal terbang, tetapi pegawai British pandai ‘membunuh’ kreativiti itu secara diplomasi dengan berkata: “Lebih baik awak hentikan usaha awak ini. Kalau awak mati jatuh kapal terbang nanti, siapa mahu jaga isteri dan anak-anak kecil awak. Kesian mereka nanti.”

Maka berkuburlah ‘talent’ komersial bertaraf dunia percipta kapal terbang orang Melayu itu selepas pemikirannya diperbodoh secara logik oleh penjajah. Ini kerana jika di Tanah Melayu sudah mampu mengeluarkan kapal terbang sendiri, sudah tentu akan menjejaskan pasaran eksport kenderaan sedemikian produk negara penjajah atau sekutunya di Barat.

Justeru jadikan iktibar jangan bunuh ‘talent’ kreatif anak tempatan Malaysia. Ketengahkan kerana kemampuan mereka sejak lama dahulu memang sudah komersial bertaraf dunia!

— BebasNews.my

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.