Nahas jalan raya, adakah pihak berkuasa boleh cuci tangan?

Nahas jalan raya, adakah pihak berkuasa boleh cuci tangan?
Gambar atas: Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja menyelamat dalam kejadian bas pekerja yang terjatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, baru-baru ini./ fotoBERNAMA

 

Oleh DATUK REJAL ARBEE

 

Polis trafik diwujudkan bukan hanya untuk mengadakan sekatan jalan raya

 

NAMPAK gayanya soal kenderaan berat dibawa amat laju di jalan-jalan raya berterusan berlaku tanpa sesiapa pun penguasa-penguasa jalan raya kita ambil kisah atau ambil pot.

Maka itu tidak menghairankan apa yang berlaku baru-baru ini di mana sebuah bas penumpang terbabas keluar dari jalan raya menjunam masuk ke longkang besar hingga menyebabkan ramai penumpang maut.

Kemalangan yang dicari itu berlaku kerana pemandunya telah berlumba dengan sebuah bas lain ketika mereka sedang menuju ke Sepang.

Apakah sebenarnya tugas polis trafik kita?

Apakah memantau kenderaan berat supaya tidak dipandu laju atau membawa muatan berlebihan bukan tugas mereka?

Polis trafik diwujudkan bukan hanya untuk mengadakan sekatan jalan raya untuk memantau sama ada pemandu kereta mempunyai lesen memandu atau mereka sudah membayar cukai jalan kereta mereka.

Dan dalam pada itu bagi yang jelas tidak mematuhi undang-undang ada di antara mereka gamak pula memberi isyarat mereka sedia menerima habuan dari pesalah kalau tak mahu di hadapkan ke mahkamah.

Malangnya inilah yang selalunya berlaku.

Polis yang mengenakan sekatan jalan raya jarang sekali memantau kenderaan berat walau pun jelas dipandu laju dan lebih-lebih lagi membawa muatan berlebihan hingga boleh mengganggu kenderaan lain khususnya kereta-kereta.

Kini setelah berlaku kemalangan membabitkan bas penumpang hingga membawa maut kepada ramai penumpang- penumpangnya, barulah polis trafik itu hendak siasat?

Sepatutnya polis trafik sendiri yang mesti disiasat dan kalau sabit didakwa di mahkamah atau di tribunal khas kerana membiarkan kenderaan berat dibawa laju tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Sebenarnya pihak polis trafik di seluruh negara juga mesti disiasat dan didakwa di mahkamah atas semua kesalahan yang disyaki.

Serentak dengannya semua pemilik kenderaan bas juga mesti disiasat dan didakwa kerana menyebabkan kemalangan hingga membawa maut.

Ramai mengetahui bahawa ada di antara pemilik kenderaan itu menggalakkan pemandu mereka membawa laju kerana mana-mana pemandu yang tiba di stesen yang dituju sebelum tempoh ditetapkan diberi imbuhan atau elaun lebih.

Apakah ini tidak menggalakkan pemandu membawa laju?

Oleh itu pemilik-pemilik lori dan pemilik bas mesti disiasat kerana menggalakkan pemandu mereka membawa laju.

Pemilik-pemilik kenderaan berat itu lebih mementingkan duit yang mereka boleh terima daripada mengambil kisah terhadap hidup atau mati pemandu atau penumpang.

Ini menunjukkan betapa tidak bermoralnya pemilik kenderaan demikian. Apakah ini yang orang ramai mahu?

Kita sepatutnya sudah menyuarakan bantahan kita terhadap pemilik-pemilik demikian itu serta pemandu- pemandu kenderaan mereka yang terbabit.

Inilah apa yang orang ramai mahu bagi menentukan semua jalan raya kita selamat.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.