Pencemaran LRA Ayer Ganda: Span Siasat Jika Ada Unsur Kecuaian

Pencemaran LRA Ayer Ganda: Span Siasat Jika Ada Unsur Kecuaian
Gambar atas: Sungai Rui

 

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menyiasat kes pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik, Perak bagi mengenal pasti jika ada unsur kecuaian.

Pengerusinya Charles Anthony Santiago berkata jika ada, SPAN akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

SPAN kesal loji itu terus dibenarkan beroperasi sekalipun terjejas pencemaran yang dikesan sejak Januari, katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Menurutnya SPAN dimaklumkan mengenai pencemaran itu pada 8 Jan lepas dan pada 14 Jan SPAN mengarahkan Lembaga Air Perak (LAP) menaik taraf proses rawatan bagi membersihkan bahan cemar atau mencari sumber air mentah lain.

Bagaimanapun katanya, LAP gagal memenuhi kedua-dua arahan itu dan pada 9 April lepas, SPAN mengarahkan operasi LRA itu dihentikan serta-merta.

LRA ini hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas ia benar-benar bersih daripada pencemaran yang disyaki arsenik, katanya.

Menurutnya LRA itu membekalkan air kepada kira-kira 1,500 pengguna di Kampung Ayer Ganda dan untuk sementara waktu LAP membekalkan air menggunakan lori tangki selain menempatkan tangki statik, katanya.

Pada 4 April lepas,  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari mendedahkan berlaku pencemaran arsenik di Sungai Rui yang dipercayai berpunca daripada kegiatan perlombongan.

Sungai Rui merupakan pembekal sumber air mentah LRA Ayer Ganda.

— BERNAMA 
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.