[PUISI] Bangsa maju…

[PUISI] Bangsa maju…

 

Oleh ZAINI UJANG

Bangsa maju adalah pada jiwa yang merdeka, minda yang segar, budi yang luhur, akhlak yang subur, gaya hidup yang lestari, fikrah yang terarah, pemimpin yang adil, rakyat yang bersatu dan negara yang berdaya maju!

i
Bangsa maju bukan pada kemewahan setiap warga dengan gaya hidup serba berlebihan mengguna barangan serta jenama mahal untuk diperaga;
bukan pada kemegahan barangan pelbagai rupa tersemat di leher jinjang atau permata bergerlipan di cuping telinga setiap wanita;
bukan pada kekayaan wang ringgit berjuta, limpahan saham dan harta-benda;
bukan pada kesenangan hidup tanpa perlu bersusah payah membanting tulang untuk mendapatkan biaya kehidupan diri dan keluarga;
bukan pada rasa keakuan untuk menokok kekayaan diri, menggaut keuntungan seadanya dan menyisih diri dari hidup bermasyarakat semampunya;
bukan pada kesantaian mengisi ruang masa dengan berlibur dan berhibur di tepian danau, pantai dan kota di serata penjuru dunia;
bukan pada kesediaan melabur dan meraih keuntungan tanpa memperdulikan kemaslahatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian negara;
bukan juga pada keghairahan memberi sumbangan, derma dan sadaqah untuk menghalalkan gaya hidup rakus dan korupsi yang sudah sebati mendarah daging dan membudaya.

ii
Bangsa maju adalah pada kemewahan ilmu dan hikmah untuk dimanfaatkan seadanya demi kesejahteraan umat dan negara;
pada kemegahan berkhidmat dengan keilmuan, kemahiran dan ketulusan untuk kemakmuran nusa bangsa;
pada kekayaan jiwa dan minda untuk sentiasa memberi lebih dari meminta, untuk menyumbang lebih dari menerima;
pada kesenangan untuk terus tekun mengajar dan belajar, untuk mencuba dan meneroka, untuk membiaya dan dibiaya;
pada rasa kekitaan untuk memastikan keluarga dan sahabat, tetangga dan seluruh warga menikmati hidup aman makmur, bersatu dan bahagia;
pada kesantaian mengisi ruang masa hidup dengan memikir, merencana, mencuba, merekacipta dan melaksana pelbagai inisiatif dan usaha sama yang memanfaatkan seluruh dunia;
pada kesederhanaan dalam menganuti faham agama, mendalami falsafah, mengemukakan saranan dan berbeda pendapat, menganggotai fikrah siasah, mengamalkan gaya hidup lestari dan sentiasa berpada-pada;
pada kelestarian dalam seluruh aspek kehidupan, mengurangkan pelepasan karbon dan mengurus sisa kehidupan sebaiknya demi kepentingan sejagat dan sebangsa.

iii
Bangsa maju adalah pada jiwa yang merdeka, minda yang segar, budi yang luhur, akhlak yang subur, gaya hidup yang lestari, fikrah yang terarah, pemimpin yang adil, rakyat yang bersatu dan negara yang berdaya maju!

Geneva, Switzerland
10 April 2019

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.