Memalukan: Kriket dalam dewan bagai dianaktirikan 

Memalukan: Kriket dalam dewan bagai dianaktirikan 
Gamabr atas: AHMAD SARJI (tengah) membincangkan sesuatu di stadium kriket dalam dewan pada hari perasmian, 4 Oktober 2015.

 

 

Apa sudah jadi dengan Pesuruhjaya Sukan? Menggalak, mendaftar pertubuhan sukan atau bermacam-macam kerenah?

 

MINGGU lepas, skuad kriket dalam dewan (indoor) Malaysia kalah teruk dalam pertandingan Asia yang turut menampilkan New Zealand sebagai pasukan undangan. Kejohanan berlangsung di Singapura.

Di samping Singapura sebagai tuan rumah pasukan lain yang bertanding ialah India, Sri Lanka dan Emiriah Arab Bersatu.

Nampaknya penyertaan Malaysia cuma sekadar melengkapkan kehadiran sahaja. Pemergian di bawah naungan Persatuan Kriket Malaysia itu menampilkan pemain bukan di kalangan pakar dalam permainan dalam dewan malah cuma ‘meminjam’ peserta outdoor atau kalangan pemain kriket sebenar-benarnya.

Malang sungguh kerana pembangunan kriket dalam dewan tidak tertumpu langsung. Malah ramai tidak memahami peraturan kriket dalam dewan. Bukan sahaja perundangannya lain tetapi ia memerlukan stamina berlebihan berbanding kriket luar dewan.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah mempelopori langkah untuk mewujudkan Persatuan Kriket Dalam Dewan Malaysia atau Malaysian Indoor Cricket Association (MICA). Mesyuarat agung penubuhan diadakan pada 14 Ogos 2016 di Klang selepas siapnya sebuah stadium kriket dalam dewan yang hebat. Ia dibina oleh Sime Darby Berhad berpandukan kepakaran antarabangsa dan dirasmikan pembukaan pada 4 Oktober 2015.

Dalam mesyuarat MICA itu Ahmad Sarji dipilih Presiden Penaja. Beliau ketika itu juga merupakan Pengerusi Panel Penasihat Sukan yang dilantik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Antara tokoh lain yang membarisi kepemimpinan MICA ialah Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad itu sendiri, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Zahid Noordin sebagai timbalan presiden. Turut sama ialah jurulatih hoki Piala Dunia 1975, Yogeswaran Rajaratnam, bekas kapten hoki Malaysia dan pemain kriket kebangsaan, Tam Chiew Seng.

Misi MICA ialah membangunkan pemain dari peringkat akar umbi dalam kategori dalam dewan ini sehinggalah dapat menyertai pertandingan antarabangsa. MICA boleh bergabung terus dengan Persekutuan Kriket Dalam Dewan Antarabangsa atau World Indoor Cricket Federation (WICF) yang berpangkalan di Brisbane, Australia.

Ahmad Sarji, Wan Ahmad Zahid, Yogeswaran dan Tam yakin menerusi usaha ini, ia bakal membuka peluang kepada atlet untuk menguasai permainan dalam dua kategori kriket; sama ada aksi dalam dewan atau di oval kriket di luar dewan.

MICA dihantar ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk pendaftaran sehari selepas mesyuarat agung dan ia telah tertera dalam pendaftaran secara talian pada 23 Ogos 2016.

Tetapi malangnya ia tidak mendapat respons yang memanfaatkan pembangunan kriket dalam dewan.   Difahamkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan mahu menyamai kriket dalam dewan dengan kriket di luar dewan walaupun ia merupakan sukan yang menggunakan peralatan yang berlainan. Itulah mungkin antara sebabnya ia wujud badan antarabangsa yang berlainan dengan Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

Ahmad Sarji bertegas bahawa kriket dalam dewan memerlukan sebuah pertubuhan lain berdasarkan kelainan acaranya sehinggalah beliau menulis surat ‘sulit; kepada Khairy pada 16 Januari 2017 menceritakan segala-galanya termasuk hal-hal yang bersangkutan dengan Pesuruhjaya Sukan.

Apa pun sampai hari ini — sehingga sudah bertukar kerajaan — MICA tidak dapat didaftarkan.

Kriket Malaysia terus dipertanggungjawabkan ke atas acara dalam dewan ini yang ternyata tidak tertumpu sepenuhnya. Sehingga sekarang difahamkan pemain sama diguna pakai untuk kedua-dua kategori. Peralatan untuk acara dalam dewan pun tidak mencukupi.

Stadium yang sudah dibina Sime Darby Berhad tidak dipakai secara maksimum walaupun ia dibina hampir RM5 juta. Perancangan bertahun-tahun untuk menyiapkannya tetapi digagalkan tanpa pendaftaran.

Apakah masih diharapkan Kriket Malaysia mengendalikan acara dalam dewan ini atau segerakan pewujudan sebuah badan sebenar-benarnya untuk kriket dalam dewan? Gunakan kemudahan asas yang ada untuk kebangkitannya; bukan membiarkan pembabitannya sekadar ‘kelas dua’ sahaja.

Apa sudah jadi dengan Pesuruhjaya Sukan? Menggalak, mendaftar pertubuhan sukan atau bermacam-macam kerenah?

—BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.