Pindaan RUU Perlembagaan Malaysia gagal kerana ‘tangkap muat’

Pindaan RUU Perlembagaan Malaysia  gagal kerana ‘tangkap muat’
(GAMBAR) Datuk Liew Vui Keong (kanan) semasa berbincang mengenai pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dengan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) dan beberapa Ahli Parimen Sarawak di pejabatnya di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Oleh ANGELINA SINYANG

Selain daripada keinginan pengiktirafan status, apa yang lebih penting ialah hak-hak dan keistimewaan Sarawak dikembalikan setelah lama terhakis, serta mengenai hak royati minyak dan gas.

SETELAH 56 tahun kerajaan Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaya membentuk Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akhirnya tercipta sejarah apabila buat pertama kalinya wujud usaha untuk mengembalikan kedudukan kedua-dua negeri itu sama rata dengan Semenanjung.

Impian mahu menghapuskan status ‘dianaktirikan’ dalam kerajaan Malaysia ke atas rakyat kedua-dua negeri itu hampir menjadi kenyataan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu di Dewan Rakyat pada 4 April lalu.

Langkah itu adalah sebagai menunaikan janji kerajaan baharu itu setelah berjaya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu untuk bacaan kali pertama di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

RUU itu bertujuan menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Pindaan yang dicadangkan adalah bertujuan mengembalikan status ‘rakan sekutu’ kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1963 yang dipinda melalui Akta 26/1963 selepas pembentukan Malaysia.

Dalam pindaan itu jelas menyatakan bahawa pembentukan negara Malaysia diasaskan daripada komposisi tiga pihak iaitu negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Borneo dan Singapura.

Menurut huraian RUU itu, pindaan itu dibuat selaras dengan semangat MA63 yang dimeterai pada 1963, selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri.

Pindaan tersebut dalam apa-apa cara tidak mengubah fungsi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme.

Namun, usaha dirintis oleh kerajaan PH itu tidak menjadi kenyataan apabila pembentangan kali kedua RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat gagal mendapat sokongan mencukupi 2/3 majoriti Ahli Parlimen termasuk dari kedua-dua negeri itu.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, manakala 59 lagi berkecuali termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Berikutan kekurangan 10 undi (148 undi diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang itu), RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga.

Ahli-ahli Parlimen Sarawak daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mewakili kerajaan negeri menjelaskan alasan mereka memilih tidak mengundi untuk menolak atau menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 disebabkan pindaan itu tidak bersifat menyeluruh, sebaliknya hanya ‘tangkap muat’ semata-mata bertujuan memenuhi manifesto PH.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, GPS menjelaskan pindaan Perkara 1(2) sahaja tidak memadai kerana perlu disertai dengan pindaan Perkara 160(2) untuk mengelak kekeliruan mengenai tafsiran Persekutuan.

Hal ini, disebabkan dalam Malaysia terdapat dua Persekutuan iaitu pertama Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Malaya 1957 dan kedua Persekutuan Malaysia yang diasaskan melalui MA 1963.

Namun, Perjanjian Malaysia tidak dirujuk dalam mana-mana bahagian dalam perlembagaan menyebabkan Parlimen tidak boleh meminda Perkara 160(2) di bawah peraturan mesyuarat, maka telah dicadangkan agar dimasukkan Perkara ‘pursuant to MA63’ dalam pindaan kepada perkara 1(2).

GPS juga telah mencadangkan pindaan kepada definisi federasi dalam Artikel 160(2) dengan memasukkan MA63, namun cadangan itu tidak dipersetujui.

Turut GPS cadangkan ialah supaya rang undang-undang itu dibawa untuk perbincangan lanjut pada peringkat Jawatankuasa Khas dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Matlamat utama GPS adalah mahu menyamaratakan kedudukan Sabah, Sarawak dan Malaya berteraskan MA63, namun cadangan untuk memasukkan MA63 tidak dipersetujui kerajaan Persekutuan.

Bagi GPS, selain daripada keinginan pengiktirafan status, apa yang lebih penting ialah hak-hak dan keistimewaan Sarawak dikembalikan setelah lama terhakis.

Selain itu, kerajaan negeri juga mahu PH menunaikan manifesto mereka mengenai hak royati minyak dan gas, dan juga peruntukan pembangunan yang sepatutnya diberikan kepada Sarawak.

Meskipun usaha meminda RUU Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pertama kali itu menemukan kegagalan, namun kredit atau pujian harus diberikan kepada kerajaan Persekutuan dipimpin oleh PH kerana berani menongkah era baharu Malaysia apabila mengemukakan cadangan pindaan berkenaan.

Selepas ini, ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan jangan berhenti mencari jalan penyelesaian untuk mencapai satu persetujuan dalam RUU Perlembagaan Persekutuan jika ada lagi usaha untuk meminda undang-undang itu pada masa akan datang.

Janganlah lagi berlaku keadaan di mana terma-terma yang ingin dipinda itu dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya wajar diperhalusi agar ia jelas menggambarkan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.