Lebih ramai alumni UiTM harus aktif bantu universiti

Lebih ramai alumni UiTM harus aktif bantu universiti
(GAMBAR) DEKAN Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam, Prof Dr Azizul Halim Yahya (tiga dari kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media 2019 UiTM. – Foto NSTP

Kita mahu lebih ramai alumni bersama kita untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar dan pensyarah. Pensyarah muda yang kita ada mempunyai pengalaman industri yang sangat kurang. Jadi, kita perlukan alumni untuk membantu mereka.

SHAH ALAM – Lebih ramai bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau sebelum ini dikenali sebagai Kajian Sebaran Am, diminta bergerak aktif dalam persatuan alumni.

Ini berikutan fungsi mereka amat penting dalam perkongsian pengalaman dan maklumat dengan pihak berkepentingan di universiti itu.

Dekan FKPM, UiTM Shah Alam, Prof Dr Azizul Halim Yahya, berkata pihak berkepentingan di UiTM khususnya pelajar, ibu bapa serta tenaga pensyarah amat memerlukan pandangan dan sumbangan alumni menerusi pengalaman mereka.

Mengambil contoh pembabitan alumni yang aktif di universiti di luar negara, Azizul berkata, alumni di UiTM sewajarnya meluangkan sedikit masa dalam kesibukan urusan kerjaya mereka untuk turut sama terbabit dalam aktiviti di institusi pengajian tinggi itu.

“Kita mahu lebih ramai alumni bersama kita untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar dan pensyarah. Ini kerana kebanyakan pensyarah muda yang kita ada mempunyai pengalaman industri yang sangat kurang. Jadi, kita perlukan alumni untuk membantu mereka.

“Selain itu, kehadiran alumni juga penting pada hari pendaftaran penuntut baharu kerana ibu bapa lebih yakin untuk mendengar sendiri daripada alumni mengenai kejayaan mereka.

“Kita tahu kesibukan mengatasi segala-galanya. Saya banyak terbabit dengan universiti luar dan saya lihat ramai alumni menyokong program termasuk menyumbang tenaga dan harta benda. Jadi, kita mahu alumni kita juga meluangkan masa untuk membantu universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Alumni Masscomm 2019 UiTM di Menara Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, pagi ini (13 April 2019).

Pada mesyuarat itu, Timbalan Pengerusi Alumni Masscomm, Basree Rakijan dipilih sebagai pengerusi persatuan itu yang baharu menggantikan Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Sehingga kini, ada kira-kira 15,000 pelajar lulusan FKPM.

Azizul berkata, selain aktiviti di universiti, alumni juga diminta supaya mengorbankan sedikit masa untuk menghadiri mesyuarat agung anjuran pihak persatuan supaya proses pemilihan jawatan dapat dijalankan dengan lancar.

Pada masa sama, beliau bercadang memperkasa fungsi alumni dengan melantik ahlinya sebagai panel temu duga secara sukarela bagi kemasukan pelajar FKPM di semua 12 cawangan UiTM di seluruh negara, dalam masa terdekat.

“Kita satu-satunya universiti yang meneruskan tradisi temu duga untuk pelajar yang ingin mengikuti pengajian dalam bidang ini dan kita akan jemput alumni untuk bersama menjadi panel secara sukarela,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/04/552559/alumni-harus-aktif-bantu-universiti

— Berita Harian

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.