Kemelut Menteri Besar Johor: Dr. Sahruddin ganti Osman?

Kemelut Menteri Besar Johor: Dr. Sahruddin ganti Osman?

 

Oleh LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

Jika diambil kira persetujuan kesemua parti dalam PH sebelum ini, jawatan MB Johor diberikan kepada wakil rakyat dari PPBM. Namun, keputusan siapa yang akan dilantik mesti mendapat perkenan daripada Sultan Johor.

JOHOR BAHRU – Siapa bakal Menteri Besar Johor yang baharu hanya akan diketahui pada majlis angkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene pagi ini (14 April 2019).

Namun, dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat, ada beberapa nama pemimpin parti dari Pakatan Harapan (PH), khususnya dalam kalangan ahli-ahli Exco sedia ada, yang disebut-sebut bakal dilantik menggantikan Datuk Osman Sapian yang sah meletakkan jawatan semalam (13 April 2019).

Antaranya, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian, Dr. Sahruddin Jamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong.

Selain Sahruddin, turut disebut-sebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama, Datuk Aminolhuda Hassan  yang juga ADUN Parit Yaani.

Nama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, yang juga ADUN Semerah turut menjadi buah mulut pemerhati politik.

Namun, jika diambil kira persetujuan kesemua parti dalam PH sebelum ini, jawatan Menteri Besar Johor diberikan kepada wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jika perkara itu terus diambil kira dan mendapat persetujuan bersama, kemungkinan besar jawatan tersebut diberikan kepada Sahruddin yang mewakili PPBM, sedangkan Aminolhuda merupakan wakil rakyat Parti Amanah Nasional (PAN), manakala Mohd. Khuzzan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walau bagaimanapun, keputusan siapa yang akan dilantik memegang jawatan nombor satu itu mesti mendapat perkenan daripada Sultan Johor.

— BebasNews.my

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.