Kemeriahan sambutan Songkran

Kemeriahan sambutan Songkran
Gambar atas: Kanak-kanak dan ibu bapa tidak melepaskan peluang bermain air dengan bantuan air dari tangki bomba di Perayaan Songkran Perpaduan Peringkat Negeri Kelantan 2019 di perkarangan Dataran Seni Budaya Siam Kelantan di Kampung Dalam. NSTP/ZAMAN HURI ISA

 

Oleh SITI ROHANA IDRIS

 

TUMPAT — Seramai 500 masyarakat Siam seluruh Kelantan menyambut perayaan Songkran di Dataran Seni Budaya Siam Kelantan berhampiran Wat Chonprachumthart Chanaram, Kampung Dalam, di sini, semalam.

Acara gimik pelancaran yang dilakukan sempena perayaan Songkran Perpaduan semalam menampilkan anak menyiram ibu bapa mereka sebelum memohon ampun dari mereka.

Sambutan kemudiannya dimeriahkan lagi dengan siraman air kepada orang ramai dengan bantuan air daripada tangki bomba sebelum masing-masing saling ‘menyerang’ menggunakan pistol air.

Pengerusi Persatuan Siam Kelantan, Prof Pim Chau Dam, berkata perayaan Songkran sebenarnya adalah sambutan tahun baharu masyarakat Siam yang disambut pada April setiap tahun bagi menghormati ibu bapa.

“Sambutannya sama seperti perayaan kaum lain di mana ia adalah kewajipan semua ahli keluarga untuk pulang menemui ibu bapa.

“Selepas menziarah kubur pada pagi perayaan, anak akan memandikan ibu bapa mereka sebagai tanda membalas jasa.

“Bagaimanapun, pesta air yang diraikan pada masa kini sudah dikomersialkan sebagai tambahan untuk memeriahkan lagi perayaan ini,” katanya.

Seorang penduduk dari Taman Sri Jelatok, Tanah Merah, Malee Foo, 54, berkata dia sanggup datang dari jauh bersama dua rakannya untuk memeriahkan perayaan itu.

“Semalam (kelmarin) saya sudah menyambutnya di Golok, Thailand dan sambutan di sana memang meriah.

“Walaupun tidak semeriah Thailand, kami tetap datang ke sini kerana hanya setahun sekali perayaan ini disambut,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.