PAUiTM mahu tindakan tegas terhadap pihak hina Agong

0
32
Gambar atas: Setiausaha Persatuan Alumni UITM Malaysia (PAUiTM), Shukri Ishak (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan jelik yang dibuat pemilik akaun Facebook (FB) ‘Sabah Sarawak Merdeka’ terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR

 

Oleh RUWAIDA MD ZAIN

 

SHAH ALAM — Pelbagai pihak menyatakan rasa tidak puas hati dan mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap pengendali laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang memuat naik gambar menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Terbaharu, Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) hari ini menggesa supaya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu penghinaan yang dilakukan pihak berkenaan.

Setiausaha PAUiTM, Shukri Ishak berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mempunyai peralatan canggih bagi mengesan individu terbabit yang melakukan penghinaan dan mampu menutup laman Facebook itu dari awal daripada terus tersebar.

“Mereka mempunyai kepakaran dan mampu mengesan individu yang melakukannya. Malah, sekiranya perlu mereka boleh bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Selain itu, kita juga tidak nampak apa yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy apabila perkara ini berlaku. Kita tidak nampak sebarang tindakan daripada Jabatan Perpaduan bagi memastikan perkara ini terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut hadir, Naib Presiden PAUiTM, Abang Mohd. Hafizie Abang Bunsu, Ahli Jawatankuasa persatuan, Laili Suhairi dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Muhammad Aznur Syah Azman.

Dalam pada itu, Shukri berkata, Baginda adalah Canselor UiTM dan sekiranya penghinaan berlaku bermaksud menghina pelajar, pensyarah, kakitangan dan juga alumni sendiri.

“Semenjak pertukaran kerajaan berlaku kita lihat semakin ramai bersuara bukan setakat menghina Yang di-Pertuan Agong tetapi ramai lagi. Oleh demikian, kita menggesa supaya PDRM mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit.

“Permohonan maaf tidak lagi boleh diterima dan tindakan perlu diambil. Saya meminta supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak berkompromi dengan individu yang hanya meminta maaf dan mengatakan tersilap selepas itu dilepaskan,” katanya.

Katanya, selain tindakan tegas diambil, Parlimen juga perlu memperkenalkan peraturan atau undang-undang lebih tegas berhubung kesalahan menggunakan kebebasan media.

“Kebebasan media bagus namun apabila wujud individu yang menyalahgunakannya ia akan memberi kesan yang tidak baik kerana penghinaan terhadap institusi diraja ini telah berlaku lama dan perlu diatasi segera,” katanya.

-HARIAN METRO

 

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here