Teruskan semula perlombongan bauksit

Teruskan semula perlombongan bauksit
Atas: Gambar fail pencemaran disebabkan perlombongan bauksit di Kuantan

 

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ

 

KUANTAN — Mahu diteruskan. Itu harapan beberapa penduduk FELDA Bukit Goh yang mahu supaya aktiviti perlombongan bauksit diteruskan semula selepas ia dihentikan sementara sejak tiga tahun lalu.

Harapan itu disuarakan ketika sesi Pendengaran Awam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Pahang yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian SOP Bauksit, di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Nik Abdul Majid Nik Sin, 75, berkata, arahan moratorium yang dikeluarkan kerajaan pada 15 Januari 2016 membuatkan penduduk yang memajakkan tanah kepada pengendali lombong hilang punca pendapatan.

Katanya, seramai 220 penduduk di FELDA berkenaan memajakkan tanah mereka dan menandatangani surat perjanjian.

“Hanya tanah milik 30 peneroka sahaja yang sudah dilakukan aktiviti melombong di mana mereka menerima bayaran antara RM800,000 hingga RM2 juta.

Antara orang awam yang hadir pada Sesi Pendengaran Awam Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

“Selebihnya menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM30,000 dan kerja membersihkan tanah dan mengorek sebahagian tanah sudah dilakukan,” katanya.

Dia yang juga Timbalan pengerusi jawatankuasa kebajian pesara FELDA Bukit Goh berkata, apabila kerajaan mengeluarkan arahan moratorium segala aktiviti perlombongan dihentikan dan tanah mereka dibiarkan dalam keadaan berlubang-lubang.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan kerana tanah tidak diratakan dan kerja penanaman semula tanaman tidak dapat dilakukan.

“Kebanyakan peneroka asal hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil daripada tanah berkenaan, apabila ia (aktiviti bauksit) dihentikan mereka tiada pendapatan lain,” katanya.

Sementara itu, generasi kedua FELDA berkenaan, Ahmad Johari, 40 berkata, ada juga peneroka menjadi mangsa penipuan orang tengah berkaitan dengan perjanjian pembayaran pajakan tanah berkenaan.

“Menurut surat perjanjian mereka akan dibayar jumlah tertentu namun akhirnya tidak menerima sebarang bayaran walaupun tanah mereka sudah dikorek dan dikeluarkan bahan mineral itu.

“Saya berharap aktiviti perlombongan bauksit ini akan dapat diteruskan dengan lebih telus dan SOP yang lebih baik,” katanya.

-HARIAN METRO
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.