‘Tindakan periksa MPV melampau, cabar tugas polis’

‘Tindakan periksa MPV melampau, cabar tugas polis’
Gambar atas: Imej yang dipetik daripada video tular penyokong Pakatan Harapan (PH) di Rantau, Negeri Sembilan mendesak anggota MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka bonet belakang untuk diperiksa. NSTP/IHSAN FB

 

SEREMBAN — “Kami sangat kecewa dengan perbuatan itu seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada polis,” kata Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau mengulas tindakan lima penyokong sebuah parti politik yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, di sini, semalam.

Katanya, perbuatan itu adalah yang pertama kali berlaku dalam negara apabila orang awam bertindak memeriksa kenderaan polis.

“Mereka sangat melampau, mencabar tugas kami dan memalukan. Tuduhan kami membawa lebihan kertas undi tidak betul kerana polis sangat profesional,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Ahmad Jamaluddin.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Seremban. STR/ADZLAN SIDEK

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu katanya, dua anggota MPV mengikuti sebuah kenderaan lain membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di sekolah terbabit.

Beliau berkata, MPV itu tidak memasuki kawasan sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan.

“Kemudian datang lima lelaki mendakwa anggota kami membawa lebihan kertas undi. Apa hak mereka untuk memeriksa MPV polis kerana mereka orang awam,” katanya.

Katanya, dua anggotanya sepatutnya tidak membenarkan pemeriksaan namun bagi mengelak berlaku kekecohan mereka membenarkan.

“Apabila bonet kereta dibuka, hanya peti ubat dan peralatan keselamatan sahaja yang ada. Kami harap tindakan itu memuaskan hati mereka,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak kejadian kereta polis diterbalikkan seperti berlaku di Dataran Merdeka, di ibu negara sebelum ini.

“Saya tegaskan polis hanya mengiringi kenderaan lain, bukan membawa lebihan kertas undi. Polis juga tidak dapat melakukan tangkapan kerana jumlah penyokong mereka begitu ramai,” katanya.

Mohamad berkata anggota yang terbabit sudah membuat laporan polis hari ini dan polis sudah mengenal pasti lima lelaki berusia 30 hingga 50 tahun dan akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis sangat profesional biarpun banyak tuduhan dilemparkan termasuk dikatakan bersubahat.

“Polis ikut undang-undang, kawal keselamatan dan raikan demokrasi bersih. Lihatlah PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 79.3 peratus berbanding enam PRK yang lain,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/552891/tindakan-periksa-mpv-melampau-cabar-tugas-polis
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.