200 pelajar UTM terima manfaat program Food Bank Siswa Malaysia

200 pelajar UTM terima manfaat program Food Bank Siswa Malaysia
Gambar atas: Pelajar UTM memilih produk makanan disumbangkan ketika majlis pelancaran Program Food Bank Siswa UTM yang dirasmikan Ketua Setiausaha Negara di Centre For Information & Communication Technology (CICT) UTM, Skudai. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

 

JOHOR BAHRU — Seramai 200 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima manfaat daripada Program Food Bank Siswa Malaysia mulai hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Muez Abd Aziz berkata pelajar berkenaan adalah mereka yang dikenal pasti layak, seperti daripada golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan (B40).

Menerusi Program Food Bank Malaysia, program itu diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (Food Bank Siswa) dan UTM adalah universiti  kelima melaksanakan program itu bagi memastikan sasaran KPDNHEP untuk membantu 20,000 pelajar daripada 20 buah universiti seluruh negara tercapai.

“Kita membantu golongan pelajar yang memerlukan dengan memberi makanan percuma supaya mereka dapat fokus kepada pelajaran.

“Ada pelajar yang yatim, ibu bapa bekerja sebagai petani, jadi program ini dapat membantu mereka mendapatkan makanan yang berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa UTM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Menurutnya antara rakan strategik KPDNHEP yang membantu melancarkan dan memberi sumbangan program di UTM adalah The Puteri Pacific Hotel, Persatuan India Muslim Johor, Econsave, Pasaraya Borong NSK Trase City, Rotinas Bakery & Confectionary Sdn Bhd dan Shell.

Sementara itu, Wahid berkata Food Pantry dibuka setiap hari, mengikut masa yang ditetapkan dan pelajar dapat mengambil makanan mengikut kegunaan masing-masing.

Setakat ini, program berkenaan sudah dilancarkan di  Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang dan Universiti Malaya (UM).

— BERNAMA
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.