73 peratus gelandangan dibantu dapatkan kerja

73 peratus gelandangan dibantu dapatkan kerja
Foto: Aziz AS

 

PUTRAJAYA — Sehingga Januari lalu, sebanyak 73 peratus daripada 7,047 gelandangan yang menginap di Anjung Singgah berjaya dibantu dalam mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata,  kemudahan itu yang berjumlah lima buah dibangunkan di lokasi berbeza dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) iaitu pusat khidmat sosial bagi menangani masalah isu gelandangan.

Menurutnya, dalam tempoh yang sama juga, seramai 62,551 individu mendapat manfaat menerusi penubuhan Anjung Kasih di seluruh negara, iaitu kemudahan disediakan YKN yang kini berjumlah 10 buah.

“YKN menyediakan perkhidmatan Anjung Kasih iaitu penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit mendapat rawatan di hospital.

“Selain itu, YKN juga menyediakan enam pusat rawatan dialisis atau YKN Dialisis yang berkonsepkan mesra keluarga,” katanya berucap pada majlis penyampaian tajaan dan tanda tangan memorandum di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 12 rakan strategik YKN terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat, institut pengajian tinggi, agensi kerajaan, institusi Kewangan, NGO dan juga individu prihatin menjalinkan kerjasama dengan yayasan itu.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, sebagai sebuah badan kebajikan, yayasan itu tidak dapat bergerak bersendirian dan memerlukan kerjasama rakan strategik untuk membantu melaksanakan inisiatif memperkasakan kumpulan sasar melalui pelbagai sudut dengan lebih efektif.

Katanya, projek pembangunan YKN seperti Anjung Kasih dan Anjung Singgah adalah antara platform terbaik bagi syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik untuk bersama menyumbang kepada kumpulan sasar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, YKN juga dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti gabungan komponen sosial seperti Anjung Kasih, Anjung Singgah, Food Bank dan lain-lain bercirikan elemen kebajikan di tapak tanah kebajikan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Ia adalah kesinambungan daripada projek kerjasama YKN Dialisis dengan UMS. Projek usaha sama antara YKN dan UMS ini adalah projek yang pertama diwujudkan di Malaysia, sesuai dengan keperluan masyarakat Sabah.

“Selain itu, pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pula akan bekerjasama dengan YKN dalam penubuhan Anjung Kasih di UNISZA dengan peruntukan pembangunan dikongsi bersama antara pihak UNISZA dan YKN,” katanya.

-HARIAN METRO

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.