‘Defisit RM10.9 bilion Tabung Haji bukan kerana kegagalan PH’

‘Defisit RM10.9 bilion Tabung Haji bukan kerana kegagalan PH’

 

Adakah apabila pelabur mengambil langkah berkenaan ia merupakan satu kesalahan kerajaan baharu? Rakyat yang mengubah kerajaan, adakah rakyat yang bersalah?

 

KUALA LUMPUR —Defisit RM10.9 bilion yang dialami oleh Lembaga Tabung Haji (TH) tidak disebabkan oleh kegagalan Pakatan Harapan (PH) mentadbir ekonomi negara, sebaliknya ada faktor-faktor lain termasuk defisit yang dibawa semasa tempoh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kata pakar kewangan.

Prof. Adjung Fakulti Perakaunan dan Kewangan Universiti Selangor Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata ini kerana bagi tahun kewangan 2017, TH sudahpun merekodkan defisit RM4.1 bilion.

“… impairment loss (rosot nilai) mengambil tempoh 12 bulan, sebelum PH (perintah) lagi (TH) sudah masuk dalam buku kerugian (dan ini harus diambil kira),” katanya selepas menjadi tetamu program ‘Ala Carte Pagi – Penstrukturan TH’, di Bernama Radio, hari ini.

Katanya defisit TH disebabkan liabiliti lebih besar berbanding aset dan ini disumbangkan antaranya kejatuhan nilai saham FGV Holdings Berhad sejak 2012.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Zukri Samat sebelum ini dilaporkan berkata pelaburan TH dalam sektor perladangan mengalami rosot nilai paling tinggi pada RM685 juta diikuti sektor hartanah (RM528 juta), pembinaan (RM144 juta) serta minyak dan gas (RM103 juta).

Bagaimanapun, Zaharuddin yang juga Presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at tidak menolak pertukaran kerajaan menyumbang kepada kemerosotan nilai saham yang dipegang TH pada tahun lepas, dan menyifatkan perkara itu adalah normal.

“Perubahan kerajaan membawa perubahan pendekatan dan dasar, jadi pelabur-pelabur, mereka tidak suka dasar yang tidak pasti. Bagi menyelamatkan saham, mereka jual.

“Adakah apabila pelabur mengambil langkah berkenaan ia merupakan satu kesalahan kerajaan baharu? Rakyat yang mengubah kerajaan, adakah rakyat yang bersalah?” katanya.

Pada 5 April lepas, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Nilai itu adalah yang terendah dalam sejarah penubuhan TH, menyebabkan sesetengah pihak mendakwa PH gagal menjaga ekonomi, dan bukan salah kerajaan terdahulu.

– Bernama
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.