Khabar angin tidak jejaskan tugas Ahmad Faizal sebagai MB

Khabar angin tidak jejaskan tugas Ahmad Faizal sebagai MB
Gambar atas: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi (empat kiri) melihat kanak-kanak masyarakat orang asli bermain permainan susun kata pada Program Kampung Angkat Orang Asli di Kampung Sungai Cincin, Chenderiang baru- baru ini. NSTP/ABDULLAH YUSOF

 

Sehingga hari ini, Peja (Ahmad Faizal) masih terselamat walaupun ia perjalanan yang sengit dan boleh dikatakan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang berpuas hati dengan peranannya sebagai Menteri Besar Perak

 

IPOH — Beberapa khabar angin dan spekulasi bahawa wujud gerakan untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak beberapa kali kedengaran, namun meskipun sering kali diasak, ia tidak menjejaskan tugas beliau dalam mentadbir kerajaan negeri dengan baik.

Sikapnya yang tidak terus melatah dengan asakan dan desakan lawan, sebaliknya terus memfokuskan usaha mentadbir negeri dan kerajaan mengakibatkan beberapa cubaan dan usaha yang dilakukan untuk menjatuhkannya sebelum ini tidak berhasil.

Penganalisis politik yang felo penyelidik dari Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, berkata Ahmad Faizal tetap tenang meskipun banyak spekulasi di sekelilingnya berlaku, namun beliau terus melakukan tugasnya.

Katanya, dalam hal itu Ahmad Faizal dilihat bijak menangani situasi dengan tidak melayan sebarang provokasi ke atasnya dan berkali-kali menegaskan akan memberikan fokus dalam pentadbiran kerajaan.

“Itulah yang dilakukan Ahmad Faizal dan beliau juga sering kali menegaskan bahawa fokus utama adalah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan bukan melayan isu yang hanya menggangu tugasnya sebagai Menteri Besar.

“Apa yang jelas melalui pendekatan tidak melatah itu, Ahmad Faizal menunjukkan bahawa ia berjaya menutup mulut mereka yang menyebarkan spekulasi dan sehingga hari ini, beliau masih berperanan dengan baik sebagai Menteri Besar Perak,” katanya ketika dihubungi.

Achmad Dzarien berkata, justeru Ahmad Faizal adan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu turut sama memainkan peranan dalam memastikan kestabilan dan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan lancar serta tidak menampakkan kerajaan berada dalam situasi yang tidak stabil hingga memudahkan pihak lain mengambil kesempatan.

Katanya, dalam hal ini semua pihak perlu bersatu dan terus memberikan fokus untuk memantapkan pentadbiran kerajaan negeri selain tumpuan terhadap janji yang perlu ditunaikan kepada rakyat selain memberikan yang terbaik kepada mereka.

“Ini bukan lagi masa mendabik dada, ini masa untuk bekerja dan fokus terhadap usaha menunaikan janji kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugn Pandian, berkata, Ahmad Faizal sebaliknya berjaya meruntuhkan semua spekulasi atau rancangan untuk meluluskan undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan terus memfokuskan usaha mengukuhkan kerajaan.

“Sejak beliau mengambil alih kerajaan negeri,banyak khabar angin mengatakan kerajaan negeri tidak akan bertahan lama dan pada setiap kali menjelang sidang DUN pasti ada sahaja spekulasi dilontarkan pembangkang termasuk membabitkan undi tidak percaya serta kedudukan kerajaan negeri yang dikatakan lemah.

“Namun, sehingga hari ini, Peja (Ahmad Faizal) masih terselamat walaupun ia adalah perjalanan yang sengit dan boleh dikatakan beliau masih mempunyai sokongan yang kuat dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang berpuas hati dengan peranannya sebagai Menteri Besar Perak,” katanya.

-NSTP
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.