Permata dijenamakan semula dengan nama baharu Genius – Maszlee

Permata dijenamakan semula dengan nama baharu Genius – Maszlee

Walaupun fungsi dan peranannya sama, ada beberapa program di bawahnya akan dipertingkat dari segi kualiti. Kabinet membuat keputusan ini untuk penjenamaan semula supaya ia lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

NILAI: Program Permata Negara (Permata) dijenamakan semula dengan diberi nama baharu, Genius, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, Kabinet membuat keputusan itu untuk menjadikannya lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi.

“Walaupun fungsi dan peranannya sama, ada beberapa program di bawahnya akan dipertingkat dari segi kualiti.

“Kabinet membuat keputusan ini untuk penjenamaan semula supaya ia lebih berdaya saing dan bersemangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, di sini, hari ini (15 April 2019).

Sementara itu, Maszlee berkata, Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta dilaksanakan secara rintis di SMK Bekok, Segamat, mulai 2017 membabitkan pengambilan 30 murid dan diikuti 24 lagi pada tahun lalu.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu di SMK Desa Cempaka menggunakan model rakan strategi dengan pengambilan murid tahfiz swasta daripada Maahad Tahfiz Al-Quran An Najihah, Kampung Jijan, di sini.

“Pendekatan strategik ini akan membawa dimensi baharu dalam arus pendidikan negara bagi memberi ruang murid tahfiz mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara formal yang lebih sistematik di sekolah Kementerian Pendidikan untuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maszlee berkata, kementerian menyambut baik saranan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, supaya sekolah berusia melebihi 15 tahun perlu melakukan audit keselamatan setiap tahun.

“Ia adalah cadangan yang baik dan kami akan mempertimbangkannya,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/04/553224/permata-dijenamakan-semula-dengan-nama-baharu-genius

— Berita Harian

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.